Malaysia sasar 18 peratus pelancong dari India

No Image Caption
A
A
A

NEW DELHI - Malaysia menyasarkan menambah kira-kira 18 peratus jumlah ketibaan pelancong dari India tahun ini menerusi kemudahan visa yang ditambah baik selain pemasaran, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Malaysia mencatat peningkatan 7.5 peratus ketibaan pelancong dari India, selepas penurunan selama dua tahun sebelum itu.

Sasaran tahun ini adalah untuk menarik 700,000 pelawat dari India berbanding hampir 595,000 pada 2018.

"Penyambungan udara yang lebih baik akan membantu. Kami juga mengkaji kaedah menambah baik kemudahan visa untuk pelawat dari India,” kata Muhammad Bakhtiar kepada Bernama.

Kini terdapat 211 penerangan mingguan antara India dan Malaysia yang menyediakan 35,000 tempat duduk.

Pada Rabu, Muhammad Bakhtiar menemui eksekutif kanan penerbangan pada pameran perdagangan ‘South Asia Travel and Tourism Exchange’ (SATTE) di Noida, di pinggir Delhi, bagi meneroka promosi pelancongan dan lebih banyak hubungan udara.

Ruang pameran Malaysia sempena pameran pelancongan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jan itu disertai lebih 30 pempamer, termasuk Genting Malaysia Bhd, Desaru Coast Malaysia, Sunway Hotel and Theme Park, Legoland Malaysia Resort, selain para pegawai ourism Malaysia dan lembaga pelancongan negeri.

Muhammad Bakhtiar berkata Malaysia berminat mempromosi pelbagai tarikan kepada pelawat India.

Artikel Berkaitan:

"Genting dan Langkawi popular dalam kalangan pelancong India. Kami juga mempromosi Sabah, Sarawak, Pahang dan Pantai Timur bagi mereka yang sukakan alam semula jadi.

“Ada ramai pelancong dari China yang datang hanya untuk menikmati udara bersih dan kecantikan alam semula jadi. Segmen ini juga boleh menarik rakyat India,” katanya.

India ialah sumber keenam terbesar Malaysia dari segi pelancong asing. - Bernama