Saya tak kata ditipu Jho Low: Najib

Najib (kanan) menerima lukisan sebagai cenderamata daripada Shahaniza selepas berakhirnya majlis tersebut, hari ini.
Najib (kanan) menerima lukisan sebagai cenderamata daripada Shahaniza selepas berakhirnya majlis tersebut, hari ini.
A
A
A

MARAN - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan pernah menyatakan ditipu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam temu bual secara langsung bersama Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, kenyataannya disalah erti dan dipusing portal-portal tertentu termasuk berhubung penafian tidak mengenali lelaki yang kini diburu kerajaan Malaysia.

“Sebenarnya saya tak kata ditipu oleh Jho Low saya kata kalaulah terbukti nanti maka itulah maknanya kita telah ditipu oleh dia. Kenyataan saya dikilas oleh portal-portal tertentu.

“Saya nak beritahu saya tak pernah nafikan bahawa saya tak kenali beliau. Saya kata saya kenal dia secara profesional dan kita gunakan beliau dalam urusan hubungan kita dengan kerajaan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) terutama untuk menarik pelaburan ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada tetamu dan orang ramai pada program Sembang Santai di Dewan Umno Bahagian Maran, Pekan Tajau, hari ini.

Program anjuran Umno Bahagian Maran itu turut dihadiri Ketua Umno bahagiannya, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Nor Adam dan Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalil.

Najib berkata, hubungan baiknya dengan Raja Abdullah menyebabkan pelajar Malaysia yang terperangkap di Mesir dapat dibawa balik menggunakan jet milik Arab Saudi.

“Saya nak katakan bukan pelaburan sahaja, bila pelajar-pelajar Malaysia terperangkap di Mesir ketika 'Arab Spring' kerajaan Arab Saudi guna dua jumbo jet bawa balik pelajar-pelajar kita. Arab Saudi yang bayar, sebab apa? Ini kerana hubungan baik saya bersama Raja Abdullah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Najib optimis kerajaan PH tidak akan mengharamkan Umno walaupun mereka memiliki kuasa berbuat demikian.

“Tidak dinafikan mereka (PH) ada kuasa untuk mengharamkan Umno, tapi kenalah ada asas yang boleh menyokong tindakan tersebut. Umno secara dasarnya tidak melakukan sebarang kesalahan besar dan tindakan mengharamkan Umno hanya akan mendatangkan masalah kepada mereka.

“Meskipun Umno hari ini melewati zaman kesukaran namun saya percaya kita masih kaya dengan perjuangan untuk membela nasib orang Melayu,” katanya.