Norma baharu dan sibghatallah

A
A
A

KHUATIR, gelisah, cemas dan putus asa. Itulah pemikiran dan emosi yang menguasai penduduk dunia sekarang.

Sama ada negara maju dan terkaya mahupun negara mundur dan termiskin. Seluruh 185 negara kini berdepan dengan ancaman getir koronavirus (Covid-19).

Mengejutkan ialah dunia diubah dalam hampir sekelip mata. Semuanya hampir terhenti. Seluruh perhatian bertumpu kepada usaha membendung Covid-19 yang sudah menjangkiti lebih 2.7 juta penduduk dunia dalam tempoh dua bulan dan lebih 185,000 maut.

Kesombongan, keangkuhan, kedegilan menguasai sistem kapitalisme yang diketengahkan selepas kejatuhan komunisme digelar sebagai order dunia baharu. Intinya adalah materialisme, individualisme dan komersialisme.

Atas nama pertumbuhan ekonomi, atas nama dunia tanpa sempadan, sejak cahaya abad ke-21, melalui sistem kapitalisme, bumi diperkosa semahunya.

Natijah daripada sistem rakus tajaan kuasa imperialis kapitalis dunia itu ialah kezaliman, peminggiran, ketidakadilan dan jurang kekayaan yang melebar. Namun, realiti yang sedang disaksikan sekarang mengejutkan.

Berdekad-dekad segala persidangan dunia, perjanjian dan deklarasi antarabangsa, segala retorik pemimpin dunia, untuk mendesak agar dunia berubah seolah-olah tidak membawa apa-apa kesan. Tuntutan membetulkan pelbagai kepincangan dalam sistem dunia cuba disuarakan, namun tidak dipedulikan.

Sekarang, akibat rempuhan Covid-19, segala-galanya kelihatan terhenti, jika tidak pun, sedang dipaksa berubah. Seluruh pakar dunia serba bidang seperti perubatan, ekonomi, sosiologi, ahli saintis, politik antarabangsa, pendidikan, pertahanan dan institusi kewangan, meraba-bawa mencari jalan keluar daripada krisis yang terbesar dalam sejarah dunia selepas Perang Dunia Kedua.

Artikel Berkaitan:

Dalam kemelut itu, tiba-tiba dunia bercakap tajuk yang diperkenalkan iaitu normal baharu (new normal).

Daripada tidak boleh berpesta, berkumpul, melancong sehingga tidak boleh berjabat tangan. Malah, ekonomi dunia terencat dan norma baharu dalam perdagangan antarabangsa juga mungkin berlaku. Ada yang bercakap soal pola pengeluaran dan konsumsi yang bakal diolah dengan keperluan baharu.

Yang pasti setiap negara terpaksa membuat ubah suai dalam pelbagai bidang urus tadbir termasuk unjuran pertumbuhan ekonomi dan dengan itu, perlu menyemak dasar fiskal dan perbelanjaan negara.

Dalam perbahasan ini, punca dan natijah bagaimana Covid-19 menyerang tidak dibicarakan. Sumber lebih tertumpu dalam mencari vaksin.

Pakar dunia sekali lagi mencipta istilah baharu yang mengujakan. Padahal yang sangat perlu ditanya ialah apakah yang dilakukan oleh seluruh pemain industri dan ekonomi dunia yang membawa kepada mala petaka itu?

New normal bagaikan istilah yang cuba menjadi perbincangan mengenai bagaimana merawat penyakit untuk tetapi tidak menyelesaikan puncanya.

Dalam disiplin kerangka Islam, ketika sesuatu petaka berlaku, manusia dikehendaki kembali kepada asal kejadian dan merujuk kepada Penciptanya. Dalam pedoman al-Quran diberi istilah sibghatallah (acuan ALLAH). Kerangka acuan ALLAH adalah syariat Islam. Konsep asas Islam adalah maqasid syariah yang membangunkan kehidupan manusia dengan lima tonggak yang perlu dipelihara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Bagi masyarakat Islam, seharusnya pasca-Covid-19 adalah kembali kepada Pencipta. Jika new normal bermaksud merubah hal-hal bersifat sekunder, bukan bersifat primer untuk mengatur semula dunia ini, maka ia tidak boleh dilihat akan menyelamatkan manusia dan dunia.

Iktibar paling besar daripada wabak itu adalah menghargai iaitu sunnatullah dalam kehidupan yang diatur sehingga perhubungan antara manusia dengan ALLAH (habbluminallah), manusia dengan manusia (hablumminnas) dan manusia dengan alam (hambluminal alam).

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu