Muka rakan diconteng arang

Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
A
A
A

GEORGETOWN - Memori melihat rakan sebaya dipermainkan oleh rakan senior dengan menconteng arang di muka merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bulan Ramadan sememangnya meninggalkan banyak kenangan kepada dirinya.

Menurutnya, ada rakan-rakannya yang keletihan berpuasa pada waktu siang tertidur di masjid ketika menunggu jamuan moreh.

Wan Salim berkata, peluang itu diambil mereka yang lebih berusia untuk mengenakan rakan-rakannya yang sedang nyenyak tidur itu.

"Lepas berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib bersama keluarga di rumah, saya mengikut ayah yang merupakan seorang imam pergi ke masjid untuk menunaikan solat Isyak disusuli dengan solat sunat tarawih. Bagaimanapun, kami budak-budak, lazimnya mengerjakan solat ini hanya untuk beberapa rakaat sahaja.

"Golongan dewasa akan meneruskan solat sehingga 20 rakaat di tambah dengan 3 rakaat witir. Sementara menunggu jamuan moreh (yang biasanya dihidangkan selepas selesai solat tarawih) ramai kanak-kanak akan bermain-main di halaman masjid. Ada yang tidak tahan, tertidur di balai lintang masjid," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Jelas Wan Salim, kenangan mentertawakan rakan sebaya yang berlumuran arang di muka tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

"Rakan senior tidak melepaskan peluang untuk mengenakan rakan-rakan sebaya saya yang tertidur, mereka langsung tidak sedar apa-apa. Mungkin keletihan berpuasa pada waktu siang. Sehinggakan waktu muka mereka diconteng pun mereka tidak sedar.

Artikel Berkaitan:

"Apabila bangun dalam keadaan mamai, mereka bingung kerana semua orang mentertawakan mereka, termasuk saya. Kesian pun ada, tetapi lucu. Orang dewasa juga tidak tahan melihat keletah kami, mereka turut ketawa," katanya.

Beliau berkata, beliau dilatih berpuasa oleh ibunya pada usia 8 tahun berikutan ibunya amat taat dengan agama apatah lagi dalam ibadat.