Umat Islam perlu terima sekatan, kawal nafsu - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak semua umat Islam di negara ini agar menerima baik pelbagai sekatan yang terpaksa dilalui dalam suasana mereka melaksanakan ibadah puasa kali ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sekatan yang terpaksa dilakukan untuk membendung penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) itu sudah tentu mengubah banyak tradisi sambutan Ramadan sebelum ini di negara ini, namun ia tidak akan menjadi beban sekiranya umat Islam mengamalkan sikap kesederhanaan dan dapat mengekang hawa nafsu.

“Antara yang terpaksa kita hentikan ialah majlis berbuka puasa beramai-ramai dan sembahyang tarawih secara berjemaah. Kita juga tidak dapat membeli juadah yang enak di bazar-bazar Ramadan. Selain itu, pergerakan kita untuk melawat dan berbuka puasa dengan sanak-saudara juga turut terjejas.

“Dalam lain perkataan, Ramadan kali ini menuntut kesabaran dan kekangan nafsu daripada kita yang jauh lebih berat berbanding dahulu. Sama ada kita sedar atau tidak, cabaran yang kita hadapi dalam bulan Ramadan kali ini sebenarnya menguji tahap kesungguhan kita untuk kita mempertahankan rakyat dan negara,” katanya menerusi catatan Facebook.

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak tidak dapat menahan nafsu dan masih mahu menjalani ibadah puasa seperti tahun-tahun sebelumnya, ia bermakna mereka memperjudikan kehidupan rakyat lain termasuk diri sendiri.

Menurut Dr Mahathir, pengorbanan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dengan mematuhi pelbagai sekatan berkenaan adalah jauh lebih kecil berbanding pengorbanan mereka yang berada di barisan hadapan untuk mempertahankan semua rakyat Malaysia.

Katanya, jika umat Islam meredai semua perkara yang berlaku, mereka juga akan dapat menjalani ibadah puasa ini dengan sempurna seterusnya dapat menyambut Syawal dengan penuh kesedaran dan kesyukuran. - Bernama

Artikel Berkaitan: