Indonesia larang semua penerbangan sehingga 1 Jun

Novie Riyanto. - Foto Sumber Internet
Novie Riyanto. - Foto Sumber Internet
A
A
A

JAKARTA - Indonesia mengumumkan larangan terhadap semua penerbangan komersial dan persendirian di dalam negeri dan antarabangsa berkuat kuasa esok sehingga 1 Jun 2020.

Direktur Jenderal Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan (Pengangkutan), Novie Riyanto dalam satu kenyataan berkata, ia selaras dengan perintah Presiden Indonesia, Joko Widodo yang melarang semua aktiviti bermudik atau balik kampung bagi menyambut Aidilfitri 1441 Hijrah.

Larangan bermudik yang mula berkuat kuasa esok itu, kebiasaannya sebelum ini (aktiviti bermudik) melibatkan pergerakan berjuta-juta orang terutamanya dari Kota Jakarta dan kota-kota berhampirannya, ke wilayah-wilayah lain ke seluruh Indonesia sama ada melalui pengangkutan darat, udara dan laut bagi menyambut Aidilfitri.

Bagaimanapun Novie berkata, berlaku pengecualian larangan itu kepada penerbangan yang membawa pemimpin tertinggi negara itu atau pemimpin negara luar, selain pesawat yang membawa pulang rakyat Indonesia dari negara luar dan operasi penerbangan yang membawa warga negara asing di Indonesia untuk pulang ke negara mereka.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi sebelum ini mengumumkan Indonesia menutup kemasukan pelawat luar dan menghalang rakyatnya keluar negara bagi membendung penularan virus koronavirus (Covid-19) berkuat kuasa 20 Mac lepas sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama

Artikel Berkaitan: