Sukma Johor berlangsung Mac 2021

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan wabak Covid-19 dijadualkan semula bermula 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma pula bakal berlangsung sebulan kemudian iaitu bermula dari 5 hingga 10 April.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dijalankan secara dalam talian hari ini yang disertai oleh semua ahli jawatankuasa itu, termasuk wakil dari semua negeri, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN) serta Sekretariat Sukan Malaysia Johor.

Beliau dalam satu kenyataan di sini menjelaskan mesyuarat yang dipengerusikannya itu menetapkan bahawa nama Sukma 2020 dan Para Sukma 2020 akan dikekalkan bagi tujuan penjenamaan walaupun temasya berkenaan berlangsung pada 2021.

Sukma Johor pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai ini diikuti oleh Para Sukma bermula 11 hingga 22 Ogos, tetapi terpaksa ditunda atas faktor keselamatan dan kesihatan berikutan ancaman penularan Covid-19.

Dari segi teknikal, beberapa pindahan telah dibuat kepada Peraturan Am, khas untuk edisi 2020 antaranya Perkara 3.1 yang membenarkan atlet-atlet yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran awal sebelum 9 Januari 2020 mengambil bahagian walaupun melebihi had umur seperti yang telah ditetapkan.

Pertukaran atlet untuk senarai panjang (pendaftaran awal) boleh dilakukan sehingga 30 Jun ini yang hanya melibatkan kes kecederaan atau tidak mendapat pelepasan majikan atau institusi pendidikan, dengan permohonan dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal berserta bukti untuk kelulusan.

Borang-borang penyertaan yang lengkap dengan nama atlet dan acara (senarai pendek) hendaklah dikemukakan oleh kontinjen kepada Sekretariat Sukma Johor tidak lewat daripada 31 Disember ini.

Menurut Reezal Merican lagi, pindaan lain ialah Mesyuarat Pertindihan Atlet akan diadakan pada 18 Januari manakala Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM) akan diadakan pada 24 dan 25 Februari 2021.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa mesyuarat jawatankuasa tertinggi seterusnya akan diadakan pada Oktober ini untuk kita bincangkan semula tarikh Sukma ini jika ada sebarang perubahan.

“Saya berharap dengan adanya keputusan ini, semua atlet pelapis kita di negeri-negeri akan terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program latihan yang telah dibekalkan oleh jurulatih masing-masing di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya. - Bernama