KWP jamin penduduk PKPD keenam cukup bekalan makanan

Annuar (kiri) meninjau tempat pengumpulan bantuan di unit stor sitaan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.
Annuar (kiri) meninjau tempat pengumpulan bantuan di unit stor sitaan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memberi jaminan akan menyediakan barang keperluan harian dalam bentuk bekalan mentah yang mencukupi untuk 14 hari kepada penduduk yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) keenam sejak Isnin lalu.

Kira-kira 17,000 penduduk sekitar Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur terlibat dengan perintah PKPD yang dipecahkan kepada lapan parcel termasuk perumahan Taman Seri Murni.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, penduduk tempatan yang tinggal di 1,500 unit kediaman akan diberikan bekalan makanan asas sebanyak dua kali penghantaran yang setiap satunya mampu bertahan antara tujuh hingga 10 hari.

"Penghantaran telah bermula semalam, tetapi terdapat keperluan tidak mencukupi termasuk barangan untuk memasak lauk sedangkan esok dah nak mula berpuasa.

"Jadi kita akan utamakan makanan asas iaitu beras dan lauk. Hari ini dan esok penghantaran makanan dalam bentuk tin seperti sardin akan dilakukan.

"Jika tak mencukupi kita akan cuba hantar makanan sejuk beku untuk stok tujuh hari," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau keadaan PKPD keenam di sini hari ini.

Nombor yang boleh dihubungi jika penduduk di PKPD keenam menghadapi masalah atau memerlukan bantuan.
Nombor yang boleh dihubungi jika penduduk di PKPD keenam menghadapi masalah atau memerlukan bantuan.

Terdahulu, timbul dakwaan penghuni PKPD keenam terputus bekalan dan tidak makan susulan pelaksanaan perintah itu dilaksanakan serta-merta tanpa sempat mereka membuat persediaan.

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, sistem agihan keperluan akan diperbaiki bagi memastikan semua penghuni mendapat bekalan sama-rata yang akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibantu agensi berkaitan.

"Bekalan itu akan dihantar dari rumah ke rumah bagi memastikan tiada satu penghuni pun akan tercicir.

"Bagi penduduk bukan warganegara, urusan agihan dan keperluan berkaitan akan diuruskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan dana hasil sumbangan awam atas faktor kemanusiaan," katanya.

Katanya, isu terputus bekalan makanan tidak sepatutnya berlaku disebabkan kedai runcit dalam kawasan PKPD dibenarkan beroperasi.

"Kedai runcit dibenarkan berniaga dan penghuni boleh beli keperluan asas, setiap blok ada kedai cuma urusan pembelian itu dilakukan dalam keadaan terkawal dan mematuhi prosedur operasi standard.

"Kita juga sediakan nombor yang boleh dihubungi jika hadapi masalah terputus bekalan makanan atau keperluan spesifik seperti sakit dan dialisis serta boleh hubungi bilik gerakan yang beroperasi 24 jam," katanya.