Bergabung bantu petugas barisan hadapan

Dr Noor Zaitun (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan PPE kepada wakil JKNT.
Dr Noor Zaitun (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan PPE kepada wakil JKNT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) dan empat institusi kerajaan di Terengganu bergabung tenaga menghasilkan 14,000 pelindung muka (face shield) dan 3,000 gaun isolasi bagi kegunaan barisan hadapan.

Pengarah Projek Frontliner PPE (Peralatan Perlindungan Diri) Support Team, Ts Dr Noor Zaitun Yahaya berkata, bagi menjayakan projek berkenaan, mereka mendapatkan bantuan tenaga kerja hampir 100 sukarelawan yang terdiri pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan NGO yang terlibat.

Menurutnya, sebanyak 7,000 pelindung muka berjaya disiapkan dan diagihkan kepada hospital serta pusat rawatan koronavirus (Covid-19) di seluruh Terengganu.

"Kita juga telah menyiapkan 1,410 set isolasi bagi fasa pertama. Untuk hari ini sahaja, 3,000 pelindung muka dan 480 set isolasi diagihkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bagi memastikan kualiti dan standard penghasilan pelindung muka dipatuhi, kami memastikan bahan yang digunakan adalah baik dan bersih termasuk proses pembuatan dan tempat operasi dalam keadaan bersih serta terkawal.

"Proses penghasilan PPE ini juga kita pastikan sentiasa mematuhi standard pembekalan PPE oleh The Occupational Safety and Health sebagaimana yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Malaysia atau DOSH meliputi pemilihan bahan, tempat dan proses penghasilan PPE dibuat, pembungkusan, pelabelan dan pengangkutan," katanya.

Sebahagian daripada sumbangan PPE kepada barisan hadapan.
Sebahagian daripada sumbangan PPE kepada barisan hadapan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan PPE kepada barisan hadapan Terengganu di JKNT di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Zaitun juga menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan daripada Kolej Vokasional Dungun, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) dan Penjara Marang serta semua NGO yang terlibat.

"Projek penghasilan PPE dibiayai oleh dana sumbangan, NGO, badan korporat serta orang ramai.

"Individu atau institusi yang berhasrat menyokong projek ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Malaysia Berhad (5630-6414-4012 atas nama The Clean Air Forum Society of Malaysia).

"Semua sumbangan dikecualikan daripada cukai (tertakluk kepada kelulusan pihak LHDN). Para penyumbang boleh kemukakan bukti pembayaran untuk Resit Pelepasan Cukai yang akan diberi setelah transaksi berjaya dan boleh diemelkan kepada: cleanairmalaysia@gmail.com atau hubungi Dr Mohd Shahrir di talian 017–9681102 atau shahrir@umt.edu.my," katanya.