Tiada majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan di Pulau Pinang

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Tiada sebarang majlis berbuka puasa akan diadakan di semua surau dan masjid di seluruh Pulau Pinang sepanjang Ramadan ini.

Malah umat Islam diminta menunaikan solat tarawih bersama keluarga di rumah masing-masing walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disambung atau tidak nanti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, meskipun suasana Ramadan tahun ini berbeza disebabkan PKP, namun ibadah puasa perlu tetap disempurnakan dengan sepenuh jiwa dan penghayatan.

"Walaupun kita menghadapi situasi wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini, namun kerajaan negeri akan memastikan agar umat Islam di Pulau Pinang dapat memenuhi tuntutan agama dalam keadaan sebaik mungkin.

"Walaupun perkara-perkara lazim seperti solat tarawih berjemaah dan penganjuran bazar Ramadan tidak lagi dapat diteruskan seperti biasa, saya berharap kita akan beradaptasi untuk terus menjalankan tanggungjawab kita demi agama dengan disesuaikan arahan PKP," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, bagi membantu penjaja dan peniaga kecil bazar Ramadan yang tidak dapat berniaga pada tahun ini, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan kempen Jom Beli Online serta e-Bazar Ramadan.

Katanya, platform yang tersedia mampu untuk memberikan nafas baharu kepada para penjaja kita dan sekali gus memenuhi keperluan umat Islam yang berpuasa.

Selain itu katanya, program sumbangan dan agihan zakat kepada golongan asnaf dan golongan yang memerlukan akan tetap diteruskan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang terjejas akibat PKP.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai dobi yang telah diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan dibenarkan beroperasi mulai esok.

Beliau berkata, perkhidmatan berkenaan dibenarkan beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam dan perlu mengikut syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.