Razman terima apa saja keputusan siasatan

Razman membantu penyediaan makanan yang akan diedar kepada petugas barisan hadapan yang disediakan Ipoh Central Kitchen (ICK) di Restoran Simpang Tiga hari ini.
Razman membantu penyediaan makanan yang akan diedar kepada petugas barisan hadapan yang disediakan Ipoh Central Kitchen (ICK) di Restoran Simpang Tiga hari ini.
A
A
A

IPOH - Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria menerima apa juga keputusan siasatan polis terhadap dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam satu majlis di Lenggong, minggu lalu

Beliau berkata, keterangan berhubung kes itu telah diberikan dan setakat ini, belum ada sebarang perkembangan lanjut dimaklumkan.

"Polis tanya apa berlaku, bagaimana perkara itu berlaku, itu bidang kuasa mereka dan mereka pun ada prosedur operasi standard (SOP), jadi apa juga keputusan polis kita terima," katanya kepada pemberita ketika meninjau penyediaan makanan kepada petugas barisan hadapan oleh Ipoh Central Kitchen (ICK) di Restoran Simpang Tiga di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu berkata, siasatan berkenaan sedikit pun tidak menjejaskan jadual program yang telah dirancang.

"Saya teruskan program seperti biasa, cuma mesti ikut SOP (PKP ditetapkan)," katanya.

Menurutnya, tugas selaku wakil rakyat dan kerajaan memerlukannya terus turun padang meneliti masalah dihadapi rakyat.

"Program tidak boleh tangguh dan tak boleh terganggu dengan apa yang berlaku ini. Pemimpin kalau tak turun dan lihat apa yang berlaku di bawah, maka tak bolehlah nak selesaikan masalah.

"Jadi program memang tetap diteruskan, cumanya harus tahu dan ikut SOP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan Pesuruhjaya Pas Perak itu boleh meneruskan tugas seperti biasa dan tidak perlu direhatkan.

Pada 18 April, tular di media sosial gambar Razman bersama-sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan beberapa individu hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong.

Sehari selepas itu, beliau membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebook selain turut hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.