Malaysia perlu tegas tidak iktiraf tuntutan China

Anifah Aman
Anifah Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas kawasan maritim negara kerana tuntutan China berdasarkan 'nine dash line' adalah tidak selaras dengan peruntukan undang-undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang–Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu Laut China Selatan merupakan isu keutamaan tinggi kepada Malaysia sejak dahulu lagi dan ianya sering dibincangkan di dalam Mesyuarat–Mesyuarat Kabinet bagi tempoh tahun 2009 hingga 2016.

"Sejak sekian lama, Malaysia mengambil pendirian yang konsisten dan berprinsip berhubung Laut China Selatan meliputi isu kedaulatan, hak kedaulatan, ekonomi, politik, keselamatan dan sebagainya.

"Pendekatan yang konsisten dan berprinsip ini tidak disenangi oleh China, tetapi China menghormatinya," katanya hari ini.

Selain itu, Anifah berkata, kehadiran kapal China di dalam kawasan perairan Malaysia bukan untuk tujuan pelayaran berlaku buat kali pertama dalam tahun 2012 apabila kapal Pengawal Pantai China mengganggu kajian seismik yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor Petronas.

"Malaysia telah memprotes tindakan China tersebut dan saya selaku Menteri Luar Negeri pada masa tersebut telah memberikan kenyataan kepada pihak media dan membangkitkan ketidaksenangan Malaysia berhubung tindak-tanduk China dengan rakan sejawatan saya dari China.

"Saya berpandangan pendirian yang konsisten dan berprinsip adalah merupakan cara terbaik untuk menangani tindak-tanduk China. Dalam masa yang sama, pertimbangan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan mestilah berdasarkan kepentingan nasional dan pertimbangan lain seperti keperluan menjaga air muka China dan sebagainya menjadi pertimbangan sekunder," katanya.

Oleh itu, Anifah berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya berhubung aktiviti survei yang dijalankan oleh kapal China di dalam kawasan Maritim Malaysia.

"Kapal MMEA dan TLDM yang bersaiz kecil mungkin tidak mampu menghalang kapal China, tetapi sekurang-kurangnya kita menzahirkan tekad kita untuk tidak membiarkan kapal China berbuat sesuka hati di dalam kawasan maritim Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Seterusnya pihak kerajaan melalui Menteri Luar Negeri wajar menzahirkan ketidaksenangan terhadap kehadiran kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

"Kenyataan ini boleh disusuli dengan nota bantahan diplomatik kepada pihak China. Tindakan–tindakan ini akan memastikan kepentingan strategik negara tidak terjejas," katanya.