X

Kindly register in order to view this article
!

Klopp dedah mimpi ngeri di Liverpool

Jurgen Klopp
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp mengakui pernah berdepan kerisauan dipecat daripada jawatannya itu sekiranya tidak mampu mengubah persembahan The Reds pada musim pertamanya di kelab itu.

Menurutnya, kerisauannya itu bertambah selepas melihat harapan besar yang disandarkan pengurusan kelab dan peminat di bahunya.

"Ia jelas bahawa pasukan memerlukan masa untuk berubah. Ia juga bukan boleh dibaiki dalam satu malam sahaja. Semua orang mahukan ia berlaku cepat tetapi ia sememangnya sukar.

"Dalam karier, saya tidak pernah dipecat jadi saya tidak ada pengalaman mengenainya. Tetapi saya sedar menyertai Liverpool ia akan menjadi berbeza dan jika saya tidak mampu membimbing pasukan, maka saya akan dipecat.

"Perkara yang baik di sini adalah selepas lapan perlawanan, pemilik Liverpool cukup positif dengan tindakan menandatangani khidmat saya dan ia satu tindakan tepat. Mereka mengatakan kelab berada di landasan betul (selepas lapan perlawanan itu)," katanya.

Liverpool melantik Klopp pada 2015 menggantikan Brendan Rodgers dan dalam musim pertamanya di kelab itu, Klopp gagal mencorak kecemerlangan pasukan dan hanya menyudahkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan kelapan.

Namun, segalanya berubah selepas itu apabila bekas pengendali Borussia Dortmund itu mula mengorak langkah membawa kejayaan demi kejayaan termasuk memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA, Piala Dunia antara Kelab dan bakal menamatkan penantian 30 tahun Liverpool menjulang trofi EPL.

Pengendali berusia 52 tahun itu memulakan karier kejurulatihannya di kelab Jerman, Mainz sebelum berpindah ke Dortmund dan selepas tujuh tahun di Signal Iduna Park, Klopp berhijrah ke Anfield.

Namun, Klopp menegaskan pendirian kejurulatihannya dan corak kerjanya tetap sama seperti dahulu dan ia menjadi azimat paling berkesan dalam permainan Liverpool pada masa ini.

"Ideanya tetap sama iaitu mahukan pasukan sentiasa berusaha. Ia tidak pernah berubah kerana saya rasakan ia perkara yang betul untuk dibuat.

"Idea itu menyebabkan pasukan semakin baik dari semasa ke semasa. Cara saya kerja saya sangat jelas dalam diri setiap pemain dan mereka memahaminya," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!