Malaysia berdepan isu pengangguran, pendapatan kesan Covid-19

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan menghadapi isu pengangguran yang tinggi dan pendapatan menurun kesan serangan koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan perlu memikirkan langkah membangunkan semula ekonomi negara melalui penyediaan peluang pekerjaan dan cara menjana pendapatan untuk membantu rakyat.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Menurutnya, pelan ekonomi baharu dengan berdikari tanpa mengharapkan bantuan kuasa besar termasuk China, Eropah dan Amerika Syarikat yang turut bergelut dengan isu sama perlu dilaksanakan.

"Malaysia dahulu boleh dikatakan cukup pekerjaan menyebabkan lebih dua juta pekerja asing bekerja di sini.

"Kini ekonomi mula dalam keadaan tergugat dan meruncing maka kerajaan perlu mencari jalan untuk menyediakan pekerjaan supaya rakyat ada pendapatan," katanya pada sesi Facebook Live bertajuk Covid-19: A Wake Up Call semalam.

Program yang berlangsung selama sejam itu dikendalikan moderator, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang turut mengundang Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Warisan Berhad (Awaris), Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz.

Abdul Khalid mencadangkan konsep madani atau jaringan keselamatan sosial dengan saling membantu antara satu sama lain bagi mengurangkan pengangguran.

Artikel Berkaitan:

"Asasnya adalah rakyat perlu ada pendapatan yang boleh berlakunya perbelanjaan untuk pertumbuhan ekonomi.

"Alhamdulillah Malaysia ada sumber cukup tapi kerajaan perlu uruskan sumber itu bagi buatkannya cukup untuk semua rakyat dan tiada yang ketinggalan," katanya.