Perihal saya dan kari kepala ikan bawal

Dari Menara KL

No Image Caption
A
A
A

Memang bungkus pun boleh, tetapi sepanjang yang berhubung dengan nasi kandar, saya lebih suka, dan bersemangat, makan di kedai.

Sedap macam mana pun nasi kandar, apabila ‘tapau’ dan makan di rumah, rasa orinya merosot lebih 50 peratus, itu yang saya rasakan.

Almaklumlah semua hilang rupa dan rasa asal tidak seperti makan di kedai. Nasi yang dibungkus campur sekali dengan kari, sampai di rumah sudah jauh berbeza. Nasinya sudah kembang, ikan atau ayam goreng sudah penyek bersama nasi, hatta bendi yang hijau segar pun layu dan lembik di dalam bungkusan.

Sebab itu, dulu, kini dan selamanya secara peribadi dan hakiki sekiranya hendak menyantap nasi kandar saya lebih rela memandu jauh sedikit, asalkan dapat makan di restoran sebenar.

Walaupun tinggal di Petaling Jaya, saya sanggup meredah kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Persekutuan atau naik LRT untuk menikmati hidangan kesukaan saya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (KL).

Ada dua kedai nasi kandar asal yang kekal menjadi destinasi saya. Nasi Kandar Yaseen dan Kudu Nasi Kandar. Dulu kedua-duanya sebelah-menyebelah, sekarang sudah jarak dua tiga kedai, kawasan dan jalan masih sama.

Saya mengenali dua restoran ini sejak mula berkelana di KL empat dekad lalu. Ketika di kampung sejak kecil makan masakan emak. Apabila menjadi kutu brahak di Kampung Bharu KL, lupa masakan emak, sebab nasi mamak.

Pagi sebelum ke pejabat singgah di Yassen, makan nasi, kuah kari lebih, seketul ikan bawal dan dua kacang bendi. Petang balik kerja singgah pula di Kudu, nasi kari lebih dan seketul ayam goreng, bendi.

Artikel Berkaitan:

Untuk kedua-dua sesi itu mesti ada hidangan pelengkap wajib: teh tarik gelas besar yang buihnya melimpah dan boleh melekat di misai. Alangkah nikmatnya, addusss...

Berbaris

Sampai saat ini, setelah kahwin, beranak dan bercucu, saya masih kerap berkunjung ke dua restoran ori ini, paling tidak pun sebulan sekali melepas gian. Sanggup berbaris panjang menunggu giliran untuk makan, ada ketikanya berdiri lebih setengah jam. Sebenarnya bagi penagih tegar seperti saya berbaris dan menunggu pun ada nikmatnya.

Sambil berbaris sudah dapat mengecam lauk apa yang kita hajatkan. Ada ayam goreng, ayam masak kicap, rendang limpa atau rendang hati, udang masak merah, sotong dan kambing berempah.

Tetapi bagi saya pilihan tetap kekal seperti 40 tahun dulu: nasi, kari kepala ikan bawal, kacang bendi dan teh tarik gelas besar. Baik tuan punya Yassen dan Kudu – ini generasi ketiga, saya kenal sejak tok ki dia orang dulu! – mereka sudah faham apa yang saya suka.

Lebih empat dekat, bau, rasa dan rupa tidak berubah sedikit pun, ori. Ada pun yang tidak lagi ori ialah harganya. Dulu-dulu hidangan kesukaan saya hanya antara RM3.50-RM4; kini hidangan yang serupa paling tidak pun RM10 tidak masuk teh tarik.

Sambil berbaris panjang kita sudah terhidu bau semerbak kari kepala ikan dan rempah ayam masak kicap yang lazat itu. Makin terhidu bau, makin terbuka selera dibuatnya.

Alkisah rempah kari yang harum itu melekat di tangan walaupun sudah dicuci dengan sanitizer, itulah hebatnya nasi kandar kegemaran saya. Sebab itu, saya suka makan di kedai, bukan tapau atau pesan menerusi Foodpanda.

Masalahnya sekarang perintah kawalan pergerakan. Sudah dua bulan saya terkurung di rumah, usahkan hendak ke Jalan TAR, hendak ke farmasi membeli ubat pun saya tidak dibenarkan. Anak-anak memaksa saya duduk di rumah.

Kalau hendak apa-apa mereka boleh pesan secara online. Mereka generasi online, semua boleh pesan di hujung jari. Tetapi mereka tidak tahu nasi kandar jari mamak tidak sama dengan yang dipesan online.

Dia orang kata bila PKP tamat nanti dia orang akan bawa saya ke Jalan TAR dan mana-mana sahaja restoran yang saya suka.

Saya tidak pasti berapa lama lagi PKP akan dikuatkuasakan. Adakah restoran nasi kandar saya akan dibuka seperti biasa. Adakah saya masih berkesempatan untuk menghirup teh tarik berbuih dan mencium kari yang lazat. Itu pun saya tidak pasti...

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah