Razman boleh jalankan tugas seperti biasa, kata MB Perak

Ahmad Faizal pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak hari ini.
Ahmad Faizal pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria yang terpalit isu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh meneruskan tugas selaku wakil rakyat dan kerajaan seperti biasa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tiada keperluan untuk merehatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu walaupun kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

"Sudah tentu (tugas seperti biasa) dan beliau tidak perlu pun direhatkan.

"Saya cukup yakin siasatan dilakukan tanpa memilih bulu dan tentunya YB Razman akan beri kerjasama baik kepada polis, jadi kita serahkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk teruskan siasatan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) di Arena Badminton Perak di sini hari ini.

Begitupun beliau tetap menasihatkan semua barisan Exco yang lain agar tetap mematuhi ketetapan PKP dengan menjaga penjarakan sosial terutama ketika dalam penugasan harian.

Katanya, isu penting yang perlu difahami ketika ini adalah usaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19) dengan menjaga keselamatan dan kebersihan untuk diri sendiri dan orang lain.

"Perkara lebih penting adalah kesihatan kita, bukannya undang-undang, itu perlu kita faham jika mahu putuskan penularan wabak ini.

"Jika tidak faham maka kita akan selalu katakan orang ini kena tangkap, orang itu tak kena tangkap dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, tular di media sosial beberapa keping gambar memaparkan kehadiran Razman bersama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada majlis makan di sebuah maahad tahfiz di Lenggong.

Gambar itu dimuat naik di Facebook dan tular di media sosial sebelum status berkenaan dipadam susulan reaksi netizen yang mendakwa kedua-dua mereka melanggar PKP.

Razman yang juga Ketua Pesuruhjaya Pas Perak telahpun hadir memberi keterangan polis pada 19 April lalu dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Razman beri keterangan polis isu langgar PKP

Isu PKP: Razman mohon maaf