Awas! Warisan, Bersatu mungkin menelanmu

A
A

BERITA bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal mengembangkan sayapnya ke Sabah sememangnya cukup menarik untuk diperhatikan. Setelah bertapak di Sarawak, ramai sudah menjangkakan perkara yang sama akan berlaku di Sabah.

Walaupun dinafikan oleh pemimpin-pemimpin kanan Bersatu dan sudah ada persefahaman di antara Pakatan Harapan (PH) untuk menghormati Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai sekutu politik PH di Sabah selepas PRU14, nampaknya cakap-cakap bahawa Bersatu akan masuk ke Sabah semakin tak terbendung lagi.

Selepas peristiwa 13 wakil rakyat Umno keluar parti tahun lalu, khabar angin bahawa Bersatu akan masuk ke Sabah sudah pun bertiup kencang. Ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Disember lalu, beberapa tokoh politik dari Sabah telah pun bertemu dengan pemimpin-pemimpin Bersatu dan mendesak mereka agar segera masuk ke Sabah.

Malah ada pula gambar bekas pemimpin kanan Umno Sabah yang tular dan tersebar di media sosial memegang borang Bersatu, seakan-akan menghantar isyarat secara mudah dan berkesan. Begitulah hebat dan kuatnya dugaan buat Bersatu, yang pada masa sama mungkin mencemaskan Warisan sebagai sekutunya di Sabah.

Setakat ini Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal masih mendapat sokongan rakyat Sabah. Namun begitu, sebagai sebuah parti politik yang baharu, Warisan dilihat masih tidak punya hala tuju yang jelas, baik sebagai parti politik mahupun kerajaan.

Saya bersetuju dengan kenyataan aktivis politik Sabah, Zainnal Ajamain yang menyatakan bahawa parti Warisan tidak mempunyai falsafah dan idea sebagai sebuah parti politik selain daripada mahu memenangi pilihan raya sahaja.

Setelah menjadi kerajaan, Warisan masih dilihat bergelut untuk membuktikan keupayaannya dan dalam masa sama, membina pengaruh dan sokongan sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang berwibawa.

Beberapa faktor dilihat menyumbang kepada itu. Khabar-khabar dari Sabah melihat kemasukan Bersatu banyak dikaitkan dengan kepemimpinan Shafie yang dilihat lemah. Setakat ini, isu terbesar dengan kepimpinan beliau dilihat terlalu lembut dan terlalu beri muka kepada orang-orangnya.

Malah, turut timbul tanggapan bahawa kepimpinan beliau mengutamakan kaum Bajau-Suluk berbanding kaum lain lantas menyebabkan ada yang berasa kecil hati. Seperkara lagi, sehingga ke hari ini Warisan masih gagal menjadi parti tempatan Sabah yang berbilang kaum, sepertimana yang diharapkan majoriti rakyat Sabah yang mengundi Warisan ketika PRU14 yang lalu.

Warisan masih lagi belum diterima baik oleh orang Kadazan-Dusun. Malah dalam kalangan Bumiputera Islam pun, Warisan tidak diterima sepenuhnya. Hal ini sekiranya tidak segera ditangani oleh Shafie sudah tentu akan membahayakan kedudukan parti Warisan.

Shafie tidak boleh selamanya bergantung kepada personaliti beliau semata-mata. Personaliti dan karakter Shafie barangkali agak kuat ketika menjadi pemimpin di peringkat persekutuan namun itu masih belum teruji di peringkat tempatan.

Nasib baik gelombang kebangkitan rakyat yang mahu menolak BN telah memungkinkan Warisan mendapat sokongan rakyat berbilang kaum dan memenangi pilihan raya. Kalau tidak, barangkali sukar untuk Shafie dan Warisan untuk menggulingkan BN di Sabah.

Bagi Bersatu pula, kemasukannya ke Sabah bakal membawa laba politik yang cukup menguntungkan. Dengan kesediaan bekas pemimpin-pemimpin kanan Umno Sabah untuk menyertai mereka, Bersatu bakal menambah bilangan kerusi mereka di Parlimen dan mengukuhkan kedudukan mereka dalam PH.

Berbanding Umno di Semenanjung, barangkali lebih senang untuk menerima mereka ke dalam Bersatu tanpa masalah dan dibantah rakan-rakan komponen Bersatu dalam PH. Kemasukan Bersatu juga sudah tentu disambut baik rakyat Sabah, terutamanya ahli-ahli Umno yang keluar parti selepas PRU14. Ajaibnya lagi apabila sudah ada cawangan Bersatu ditubuhkan di beberapa daerah seperti Lahad Datu, Kunak dan Tawau walaupun parti itu belum pun lagi secara rasmi bertapak di Sabah. Begitulah dahsyatnya pengaruh Bersatu ketika ini di Sabah.

Mungkin masih awal untuk sebarang kemungkinan. Lagipun Shafie Apdal bukanlah orang baharu dalam sepak terajang politik. Hubungan baiknya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mungkin masih mampu dimanfaatkan untuk menahan Bersatu daripada bertapak di Sabah buat seketika. Cuma apakah kemasukan Bersatu ke Sabah ketika ini memang tidak boleh dielakkan lagi ataupun sekadar penangguhan sementara semata, hanya masa yang akan menentukannya.

* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.