Tamparan hebat PM UK

A
A

KEKALAHAN terbesar di Parlimen dalam sejarah yang dialami Perdana Menteri Britain, Theresa May pada petang 15 Januari 2019 menyaksikan seribu satu kemungkinan yang boleh terjadi dalam politik Britain dan juga Kesatuan Eropah (EU) selepas ini.

Jumlah 432 undi ahli Parlimen yang menentang berbalas hanya 202 undi yang menyokong draf perjanjian Brexit yang diusulkan Perdana Menteri dari Parti Konservatif itu – majoriti sebesar 230 undi – tidak pernah terjadi dalam sejarah politik Britain.

Sepantas kilat, peluang ini telah diambil pemimpin pembangkang dari Parti Buruh iaitu Jeremy Corbyn untuk melancarkan undi tidak percaya kepada beliau.

Tentu sekali, dari segi moral Theresa May saat ini berada dalam keadaan yang cukup rendah; beliau bukan sahaja ditentang oleh ahli Parlimen pembangkang khususnya daripada Parti Buruh, bahkan juga daripada ahli Parlimen Konservatif pimpinan beliau sendiri di samping daripada rakan sekutu Democratic Unionist Party (DUP).

Bulan lalu, Theresa May baru sahaja terselamat daripada ‘digulingkan’ dari tampuk kepimpinan parti Konservatif dengan keputusan 200 berbalas 117 undi.

Hakikatnya, rancangan yang diusulkan Theresa May itu ialah hasil daripada rundingan panjang selama dua tahun yang telah beliau usahakan sejak 2017 lagi.

Ia dikecam hebat oleh ramai pengkritik – bukan sahaja dalam kalangan mereka yang anti-Brexit, bahkan juga dalam kalangan penyokong tegar Brexit itu sendiri. Hal ini sebahagian besarnya berpunca daripada maruah UK itu sendiri.

Draf yang diusulkan Theresa May itu disifatkan sebagai menjatuhkan maruah UK kerana pada hakikatnya, usul beliau menjadikan UK masih ‘terikat’ dengan EU – malah, dalam keadaan yang lebih teruk daripada keadaan semasa UK menjadi anggota EU di mana UK kehilangan kuasa veto dalam banyak pembuatan dasar.

Maka usul Perdana Menteri wanita kedua UK selepas Margaret Thatcher itu ibarat menjadikan UK hanya sebagai penerima ketetapan daripada 27 negara anggota EU lain semata-mata (rule-taker) dan tidak lagi menjadi pembuat keputusan (rule-maker). Isu sempadan antara Ireland Utara (wilayah UK yang akan turut keluar daripada EU atau Brexit) dengan Republik Ireland (negara berdaulat yang kekal sebagai anggota EU).

Isu sempadan Ireland Utara-Republik Ireland ini ialah isu sensitif yang cukup kritikal – dari segi sejarahnya, peperangan dahsyat pernah meletus antara pengikut Protestan di Ireland Utara (yang mengakui kedaulatan Istana Britain) dengan Katolik-nasionalis yang menguasai Republik Ireland.

Hasil perjanjian damai kemudiannya, maka pada waktu ini tiada sempadan konkrit mahu pun fizikal yang dibina di antara kedua-dua wilayah ini kerana kedua-duanya ialah anggota EU.

Menjelang tarikh Brexit pada 29 Mac 2019, peraturan melibatkan sempadan antara kedua-dua wilayah ini berkemungkinan perlu diubah – sedangkan tiada siapa yang inginkan kawalan sempadan yang konkrit diwujudkan.

Maka istilah ‘backstop’ atau ‘pengadang’ telah dijadikan alternatif oleh Theresa May di mana Ireland Utara akan kekal menggunakan peraturan dan undang-undang EU. Namun begitu, ketetapan ‘backstop’ sebegini akan mengakibatkan barangan dan makanan dari wilayah UK yang lain (England, Scotland, dan Wales) perlu melalui pemeriksaan kastam sebelum boleh dibawa masuk ke Ireland Utara.

Susulan tamparan kekalahan ini, kerajaan UK kini berlumba dengan waktu bagi persediaan proses Brexit yang seterusnya. Beberapa kemungkinan besar yang ada kini ialah sama ada Britain meninggalkan EU tanpa sebarang urus janji dengan EU, cuba untuk mengadakan rundingan semula, adakan pilihan raya umum, atau pun melancarkan referendum kedua untuk mendapatkan keputusan rakyat UK sekali lagi.

Dalam keadaan Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) mengisytiharkan bahawa UK boleh kekal dalam EU sama seperti waktu ini tanpa sebarang denda atau hukuman, desakan untuk referendum kedua semakin kuat bergema.

Hal ini ditambah pula dengan amaran Bank of England bahawa proses Brexit tanpa aturan yang lancar akan mengakibatkan lonjakan inflasi daripada 2.4% ke 6.5%, kejatuhan harga rumah sebanyak 30%, pengangguran melonjak ke 7.5%, dan KDNK berkemungkinan merudum sebanyak 8%, maka warga UK pastinya kini semakin realistik dalam menilai semula tindakan mereka yang memilih Brexit pada 2016 lalu semata-mata akibat sentimen anti-pendatang.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.