KHM susun semula kejohanan selepas PKP

Liga Hoki Remaja akan menjadi kejohanan pertama dianjurkan KHM selepas PKP berakhir.
Liga Hoki Remaja akan menjadi kejohanan pertama dianjurkan KHM selepas PKP berakhir.
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) akan menyusun semula jadual pertandingan tahun ini selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Jeet Singh berkata, kesemua kejohanan akan cuba disusun sebaik mungkin selepas tempoh tersebut berakhir selain tidak mahu sebarang kejohanan tercicir daripada dianjurkan.

Bagaimanapun, menurutnya, penyusunan tersebut perlu mengambil kira baki bulan serta masa yang masih dimiliki selain menegaskan penganjuran TNB Liga Hoki Remaja Malaysia akan menjadi kejohanan pertama yang akan berlangsung selepas tempoh tersebut berakhir.

“Selepas tamat PKP kami akan memberikan tumpuan kepada penganjuran TNB Liga Hoki Remaja Malaysia kerana semua sedia maklum Liga Hoki Remaja sepatutnya telah berjalan namun ditangguhkan ekoran PKP dan saya berhasrat untuk menjalankan pertandingan tersebut secepat yang boleh.

“Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menangguh peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jadi ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat acara sukan untuk dilangsungkan dan diberikan tumpuan selepas berakhir PKP nanti.

“Secara peribadi sudah pastinya saya mahu semua kejohanan yang telah dirancang untuk dijalankan pada tahun ini boleh dilaksanakan selepas berakhirnya PKP namun kami perlu juga melihat bila PKP tersebut akan berakhir dan masa yang masih dimiliki.

“Kejohanan Liga Hoki Remaja menjadi kejohanan utama untuk dilangsungkan dan selepas itu saya mahu melihat semula kalendar kejohanan tahun ini untuk kami menyusunnya semula bagi memastikan kejohanan-kejohanan lain dapat dijalankan kerana jika boleh saya tidak mahu sebarang kejohanan tercicir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada semua atlet terutamanya pemain hoki untuk sentiasa menjaga diri dengan baik sepanjang tempoh PKP ini serta mengikut arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan dan kekal duduk di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pemain hoki terutamanya sepanjang PKP ini untuk menjaga kesihatan serta pemakanan dengan sebaiknya. Lakukan latihan kecergasan, jaga diri dengan baik dan yang paling utama kekal duduk di rumah,” katanya.