Semua aktiviti agama di masjid, surau tidak dibenarkan

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Bukan sahaja solat sunat tarawih malah apa sahaja aktiviti keagamaan tidak dibenarkan diadakan di masjid atau surau di Negeri Sembilan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu diambil bagi menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat selain tidak mahu mendorong kewujudan kluster baharu ketika bulan Ramadan.

Menurutnya, turut tidak dibenarkan ialah penganjuran majlis berbuka puasa atau bersahur dan ia hanya boleh dilakukan di rumah masing-masing sahaja.

“Selain itu tidak dibenarkan berbuka puasa atau bersahur di premis perniagaan makanan, restoran atau gerai dan tiada juga bufet berbuka puasa atau bersahur di hotel, restoran dan premis lain.

“Namun premis makanan seperti restoran, gerai dan restoran makanan segera hanya boleh beroperasi secara ‘take away’ dan penghantaran saja,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, larangan itu turut kepada aktiviti gotong-royong penyediaan bubur lambuk atau juadah berbuka puasa melainkan menggunakan perkhidmatan katerer yang kemudian terus diedarkan kepada penerima.

Beliau berkata, bagi aktiviti mantai puasa pula hanya dibenarkan secara ‘pre-oder’ sahaja.

Selain itu katanya, sebarang sumbangan atau bantuan kepada agensi barisan hadapan hanya dibenarkan daripada penyumbang kepada wakil agensi penerima sahaja dan perlulah diambil di tempat penyumbang.

Artikel Berkaitan:

“Pemberian sumbangan dan bantuan kepada individu dikenal pasti atau asnaf pula akan diselaraskan oleh Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan,” katanya.