Kerjasama dengan KPM perkasa institusi muzium

Muhammad Bakhtiar melawat pelbagai jenis artifak dan pameran di Muzium Perak di Taiping, hari ini.
A
A

TAIPING - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bakal menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memperkasakan institusi muzium di bawah sektor pelancongan warisan pada masa hadapan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, tujuan kerjasama itu dianjurkan bagi meningkatkan kehadiran pengunjung terutama pengunjung muda ke semua 20 muzium terdapat di seluruh negara.

Menurutnya, melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan sebelum ini, inisiatif itu berjaya menarik sejumlah 2,500 pelajar ke muzium melalui program bermalam di muzium yang dilancarkan pihaknya pada Ogos lalu.

“Terbaru, satu lagi bentuk kerjasama dengan kementerian terbabit dilancarkan melalui ‘Program 1 pelajar, 1 muzium’. Langkah ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mencontohi kerajaan Singapura yang mewajibkan pelajar melawat muzium di negara itu pada usia sembilan tahun.

“Tahun lalu sahaja, 55 peratus pelajar Singapura seawal usia sembilan tahun direkodkan melawat muzium di negara itu,” katanya selepas majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-135 Muzium Perak di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan mencemar duli menghadirinya.

Muhammad Bakhtiar berkata, ketika ini kementeriannya tidak mempertimbangkan cadangan mewajibkan pelajar sekolah berusia sembilan tahun ke atas untuk hadir melawat setiap muzium di negara ini seperti diamalkan Singapura.

Namun, menurutnya, langkah terbaik boleh dipertimbangkan adalah menjadikan subjek pelancongan warisan yang turut merangkumi nilai tambah institusi muzium dan konsep negara bangsa ke dalam kurikulum sekolah.

“Inisiatif itu satu perkara baik yang boleh kita contohi bagi menggalakkan kehadiran golongan muda melawat muzium. Pada masa sama menghayati konsep negara bangsa yang diterapkan melalui nilai-nilai terdapat dalam muzium tersebut.

“Pelancongan warisan juga dilihat menjadi salah satu sumber pendapatan negara dengan usaha menarik lebih ramai pelancong boleh dijadikan sumber pendapatan yang mampu mewujudkan pasaran kerja ,” katanya.

Muhammad Bakhtiar berkata, wajarlah tumpuan terhadap pelancongan warisan diberi perhatian dalam membantu masyarakat mempelbagaikan sumber ekonomi daripada hanya bergantung kepada satu industri semata-mata.

“Selain itu, pemimpin negara juga sedar akan kepentingan kelangsungan muzium sebagai medium menyatukan pelbagai kaum, bangsa dan agama melalui nilai sejarah,” katanya.

Menurutnya, kementeriannya menyasarkan membawa masuk 30 juta pelancong asing yang bakal menyumbang RM100 bilion kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020.

“Industri pelancongan menyumbang sebanyak 14.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM201.4 bilion pada tahun 2017,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia