Covid-19: 10,749 pelawat seluruh dunia masuk Johor

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 10,749 pelawat dari seluruh dunia memasuki semua pintu masuk antarabangsa di Johor dari 3 hingga 20 April lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 5,566 individu dimasukkan ke pusat-pusat kuarantin di negeri ini.

"Proses ini bagi membolehkan pandemik koronavirus (Covid-19) tidak merebak dan dapat dikekang sekiranya virus tersebut dihidapi pelawat-pelawat dari luar itu.

"Bagi memastikan Covid-19 tidak dibawa masuk ke negeri ini, kerajaan negeri mengikut perkembangan dan memandang serius pertambahan kes di Singapura yang mencatatkan 1,111 kes positif baru semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah itu adalah bilangan kenaikan tertinggi yang dicatatkan menjadikan statistik keseluruhan kes kumulatif positif di Singapura adalah 9,125 kes ketika ini.

"Kerajaan Johor akan memastikan prosedur kemasukan warganegara Malaysia yang pulang dari Singapura terus dipantau melalui proses saringan ketat oleh petugas Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen (Imigresen) Johor," katanya.

Katanya, sebanyak 17,665 ujian saringan Covid-19 sudah dijalankan ke atas mereka bermula 18 Mac lalu sehingga 20 April lalu.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata, menurut laporan harian Stesen Kuarantin Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri, sebanyak 4,886 penghuni ditempatkan di 40 buah stesen kuarantin di negeri ini dari 7 April hingga semalam.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 4,859 daripadanya ialah individu dalam pemerhatian (PUS) dan 27 individu dalam siasatan (PUI) yang ditempatkan di stesen kuarantin berkenaan.

"Pecahan daripada keseluruhan 4,886 pula melibatkan 4,783 daripadanya orang awam termasuk warga Malaysia bekerja di Singapura, 42 daripada kluster tabligh manakala 61 penghuni lagi melibatkan pelajar yang pulang ke Malaysia," katanya.

Menurutnya, statistik harian juga menunjukkan penurunan individu di pusat kuarantin apabila hanya 4,886 individu direkodkan pada 21 April berbanding 5,292 pada 19 April lalu.