Lelaki ditahan ketika isi minyak petrol seludup

Azizi kanan menunjukkan kereta yang dirampas.
Azizi kanan menunjukkan kereta yang dirampas.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang lelaki ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah dan Agensi Kawalan Sempadan Kawalan Malaysia (AKSEM) ketika sedang leka mengisi minyak petrol untuk diseludup ke negara jiran di sebuah stesen minyak di Kampung Chedok petang semalam.

Operasi pada jam 2.45 petang yang diketuai Komander Kawasan Aksem Bukit Bunga, Sarjan Adanan Othman turut merampas sebuah kereta jenis Proton Iswara disyaki mempunyai tangki yang diubahsuai termasuk minyak petrol dianggarkan sebanyak 79 liter.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP, Cawangan Tanah Merah, Ahmad Azizi Abd Kadir berkata, sebelum ini lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai menggunakan kereta berkenaan untuk membawa masuk minyak petrol ke negara jiran.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suspek dipercayai menjadikan kereta itu sebagai transit sebelum memindahkan minyak tersebut ke dalam gelen yang lebih kecil.

Antara saluran minyak yang diubahsuai dalam kereta tersebut.
Antara saluran minyak yang diubahsuai dalam kereta tersebut.

"Cara tersebut dipercayai memudahkan pergerakan mereka untuk memasarkan minyak petrol ke negara jiran," katanya.

Ahmad Azizi berkata, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan suspek direman empat hari bermula hari ini.

"Jika sabit kesalahan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan.

"KPDNHEP Cawangan Tanah Merah dengan kerjasama agensi sempadan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan barang kawalan ini tidak diseludup ke negara jiran," katanya.