PKP: Guru semakin jinak dengan pendidikan digital

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Antara hikmah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah golongan guru yang sedikit sebanyak dapat melihat betapa perlunya memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid dalam tempoh sementara waktu ini.

Yang Dipertua Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Pulau Pinang, Mohamad Syafiq Mohamad Sulaiman berkata, banyak kelebihan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara maya ini dengan platform yang dominan iaitu Google Classroom (GC) dan Microsoft Teams.

“Kedua-duanya menjadi platform pemudah cara yang sangat baik buat guru dan murid untuk terus mengadakan P&P terutama ketika tempoh PKP ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai status Malaysia yang direkod sebagai tertinggi di dunia bagi carian frasa ‘Google Classroom’ seperti yang dilaporkan sebuah portal berita baru-baru ini.

GC adalah perisian pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dikendalikan Google digunakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika tempoh PKP.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Matematik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Maisurah Amir berkata, perisian GC sangat mesra pengguna dan mudah dikendalikan selain banyak membantu memudahkan tugasnya sebagai guru.

"Sebagai contoh, GC dapat merekodkan kehadiran serta markah tugasan atau kuiz dijalankan kepada pelajar secara digital. Guru juga tidak perlu menyemak sama ada pelajar sudah menghantar tugasan atau tidak kerana sistem GC akan memantaunya dengan menghantar status kepada guru," katanya.

Beliau berkata, rata-rata pelajarnya berpuas hati dengan perisian tersebut kerana sistem itu akan memberikan notifikasi segera sekiranya terdapat tugasan baharu dimuat naik guru, oleh itu tiada alasan untuk mereka tertinggal dari melaksanakan tugasan diberi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berharap kerajaan dapat segera menaik taraf kepantasan capaian talian internet terutama di kawasan luar bandar kerana antara masalah utama GC adalah ia bergantung kepada kekuatan pelayan internet.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meneliti perkara ini, kita merasa kasihan dengan pelajar luar bandar khususnya kerana capaian internet di sana agak rendah. Apa yang penting adalah peningkatan kualiti pelayan internet itu sendiri," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat melaksanakan sebuah skim khas berbentuk wakaf alat peranti pintar kepada pelajar yang memerlukan terutama pelajar miskin dan pelajar luar bandar.

"Kita sering dapat aduan, ada keluarga yang tidak mampu menyediakan telefon pintar, komputer ataupun internet untuk digunakan anak-anak mereka.

"Oleh itu, KPM mungkin boleh bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan skim wakaf ini dalam usaha merapatkan jurang penggunaan digital antara pelajar yang mampu dan tidak mampu," katanya. - Bernama