Tiada lagi majlis berbuka puasa seperti sebelum ini

Ismail (kanan) dan Ab Razak menunjukkan khemah yang dipasang untuk kerja-kerja memasak juadah berbuka puasa dan ia akan dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan sepanjang PKP ini.
Ismail (kanan) dan Ab Razak menunjukkan khemah yang dipasang untuk kerja-kerja memasak juadah berbuka puasa dan ia akan dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan sepanjang PKP ini.
A
A
A

PASIR MAS - Setiap kali Ramadan Masjid Al-Hanan, Simpang Empat Tendong akan mengadakan majlis berbuka puasa sepanjang 30 hari puasa untuk jemaah masjid serta penduduk setempat.

Namun Ramadan kali ini yang disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa mereka membatalkan acara tahunan tersebut.

Imam Tua Masjid Al-Hanan, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menggantikan majlis berbuka puasa dengan menyediakan juadah berbuka untuk diagihkan kepada golongan asnaf di kawasan berkenaan.

"Seperti yang sedia maklum, Ramadan kali ini semua umat manusia di segenap pelusuk dunia sedang diuji dengan wabak koronavirus (Covid-19) yang melarang kita berkumpul secara beramai-ramai termasuklah melakukan solat berjemaah bagi memutuskan rantaian penyakit itu.

"Kehadiran wabak ini telah memberikan impak yang cukup besar sehingga menjejaskan kehidupan manusia. Jadi kami terpanggil untuk mengeluarkan sedikit dana dengan menyediakan juadah secara percuma untuk golongan tidak berkemampuan," katanya selepas meninjau persiapan masjid untuk projek berkenaan.

Ismail (kiri) dan Ab Razak hanya mampu melihat kerusi meja dikemas kerana tiada majlis berbuka puasa akan diadakan pada Ramadan kali ini.
Ismail (kiri) dan Ab Razak hanya mampu melihat kerusi meja dikemas kerana tiada majlis berbuka puasa akan diadakan pada Ramadan kali ini.

Hadir sama, Setiausaha Masjid Al-Hanan, Ab Razak Ahmed.

Menurutnya, beliau berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban golongan asnaf sepanjang tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

Katanya, agihan itu akan dilakukan mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

"Kita akan patuhi semua arahan kerajaan seperti penjarakkan sosial, tidak boleh berkumpul ramai-ramai dan sebagainya bagi memastikan rantaian Covid-19 berjaya diputuskan," katanya.

Ismail berkata, seluruh umat Islam di negara ini diseru untuk terus berdoa kepada ALLAH supaya dunia segera dipulihkan dari ujian Covid-19.

Katanya, kedatangan Ramadan dilihat sebagai kesempatan terbaik untuk terus berdoa kerana ia merupakan bulan yang penuh berkat.