Padah ikut jalan pintas pekerja kilang digilis kereta api

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Seorang lelaki warga Nepal maut setelah digilis kereta api dipercayai ketika cuba melintas landasan berhadapan Central Spectrum Indah Point, Fasa 1, di Pelabuhan Barat, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu melibatkan kereta api bermuatan kontena yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Barat ke Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa, 25, yang juga pekerja kilang melintas landasan berkenaan sebelum dilanggar kereta api terbabit.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta api yang sedang bergerak dari Pelabuhan Barat menuju ke Pelabuhan Klang terlanggar mangsa yang cuai melintas landasan.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan kaki serta terdapat kesan kecederaan di seluruh badan,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, lokasi kemalangan itu dipercayai laluan pintas yang digunakan pekerja dari tempat kerja untuk pulang ke asrama.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, terdapat kesan pagar kereta api telah dipotong bagi memudahkan laluan menyeberang landasan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan: