X

Kindly register in order to view this article
!

Perkasa pengawasan maritim negara

A
A

KECEKAPAN juruterbang dan kru pesawat C-130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan sebuah bot pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya dekat Pulau Langkawi, Kedah pada Jumaat lalu berjaya mengekang cubaan menceroboh perairan negara.

Kehadiran bot berkenaan dikesan sebelum dua kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekiu dan KD Lekir dikerah ke lokasi berkenaan untuk memintas dan mengiringi bot itu keluar dari perairan negara.

Pencerobohan PATI itu hanyalah sebahagian daripada ancaman yang berlaku di perairan negara. Aktiviti menangkap ikan oleh kapal-kapal nelayan asing secara haram pula menyebabkan kecurian hasil laut dengan nilai mencecah berbilion ringgit.

Sebagai negara yang meletakkan pertahanan kawal pantai sebagai medan utama untuk menyekat ancaman mahupun pencerobohan, sudah semestinya kemampuan melakukan pengawasan ini dituntut.

Atas sebab itu, keperluan TUDM untuk dilengkapi pesawat rondaan maritim (MPA) menjadi keutamaan biarpun cadangan ini kerap kali tertangguh antaranya disebabkan faktor kewangan.

Ini kerana pesawat C-130H TUDM yang digunakan ketika tinjauan di Pulau Langkawi itu memiliki keupayaan terhad untuk melaksanakan tugas pengawasan maritim sebenar.

Tiga pesawat Beechcraft Super King Air B200T yang beroperasi sejak 26 tahun lalu pula tidak memadai.

MPA berperanan melakukan rondaan dan pemantauan kawasan maritim atau permukaan laut serta tugas-tugas yang berkaitan dengan peperangan atau operasi maritim.

Pesawat jenis itu mula diperkenalkan semasa era Perang Dingin untuk rondaan serta mencari, mengesan dan memburu kapal-kapal selam Soviet Union.

Ia juga boleh ditugaskan untuk rondaan di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif.

Apa yang menjadikan pesawat MPA lebih versatil adalah kemampuan untuk membawa sistem persenjataan dan melaksanakan serangan terhadap sasaran maritim secara fizikal.

Pesawat MPA juga mampu melaksanakan misi mencari dan menyelamat dengan baik terutama di kawasan pesisir pantai kerana sistem penderiaannya yang pelbagai dioptimumkan termasuk kemampuan mengesan sasaran sukar pada permukaan air.

Semasa pembentangan Belanjawan 2018, kerajaan pada masa itu telah meluluskan pembelian empat pesawat MPA selaras dengan keperluan minimum TUDM bagi meningkatkan keupayaan melindungi sempadan maritim negara dan menangkis sebarang pencerobohan.

Bagaimanapun, perolehan itu dijangka hanya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 nanti dan melibatkan sumber kewangan besar.

Bagi mengimbangi keperluan pengawasan tersebut, pentadbiran Amerika Syarikat (AS) menerusi program Inisiatif Keselamatan Maritim (MSI) bersetuju membiayai kos mengubah suai dua daripada tujuh pesawat pengangkut CN-235 TUDM untuk dijadikan sebagai pesawat MPA.

TLDM turut menggandakan keupayaan pengawasan maritim apabila mengoperasikan sistem pemantauan udara tanpa pemandu (UAS) Scan Eagle II juga menerusi program MSI.

Sistem UAS yang dilengkapi kamera beresolusi tinggi serta sistem pandang malam boleh dilancarkan daripada kapal peronda dengan keupayaan terbang sehingga 24 jam pada ketinggian kira-kira 5,000 meter selaju 48 knot untuk mengawasi samudera negara.

Keperluan TUDM untuk dilengkapi pesawat rondaan maritim (MPA) menjadi keutamaan.”

*Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus