Covid-19: Pemutus rantaian di Singapura hasil kesan positif

Pekerja asing beratur untuk mendapatkan makanan selepas asrama Tuas Selatan diletakkan di bawah sekatan pemerintah.
Pekerja asing beratur untuk mendapatkan makanan selepas asrama Tuas Selatan diletakkan di bawah sekatan pemerintah.
A
A
A

SINGAPURA - Pelaksanaan kaedah pemutus rantaian yang ketat bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) di Singapura telah menunjukkan kesan positif, namun republik itu tidak boleh terleka, kata Menteri Pembangunan Negara, Lawrence Wong.

“Kita mesti mengambil langkah yang tegas untuk memutuskan rantaian transmisi itu,” katanya yang juga pengerusi bersama pasukan petugas pelbagai kementerian bagi menangani Covid-19, di sini hari ini.

Pemutus rantaian yang dilaksanakan selama sebulan bagi membendung penyebaran Covid-19 di Singapura itu bermula pada 7 April, memasuki minggu ketiga, minggu ini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan yang juga pengerusi bersama pasukan petugas itu, Gan Kim Yong berkata, jumlah kes baharu dalam komuniti berkurangan kepada purata 29 kes sehari minggu lepas berbanding purata 39 kes sehari pada minggu sebelumnya.

“Apa yang membimbangkan ialah kes yang tiada kaitan dalam komuniti yang tidak berkurangan dengan purata 20 kes setiap hari,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini mengumumkan langkah pemutus rantaian yang dijadualkan berakhir pada 4 Mei akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 1 Jun 2020.

Pada 20 April, Singapura melaporkan peningkatan jumlah kes harian tertinggi iaitu 1,426, dengan 37 peratus masih menunggu pengesanan kontak.

Setakat 12 tengah hari tadi, Singapura mengesahkan pertambahan 1,111 kes jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,152 kes.

Artikel Berkaitan:

Pelanjutan pemutus rantaian itu bertujuan memastikan jika berlaku sebarang kebocoran daripada kluster asrama kepada komuniti yang lebih besar, ia boleh dikesan dan dibendung pada peringkat awal selain mencegah daripada berlakunya kluster baharu dan berada di luar kawalan. - Bernama