Norma baharu bawaan Covid-19

A
A
A

DUNIA masih lagi memerangi Covid-19. Serangan makhluk yang halus ini turut memperlihatkan belang sebenar pemimpin dan juga negara.

Kita lihat betapa negara yang dianggap hebat dan terbaik seperti Amerika Syarikat berdepan dengan masalah besar menangani pandemik ini kerana silap pertimbangan.

Kini faktor politik dan ekonomi menjadi keutamaan sebilangan rakyatnya yang tidak mahu patuh duduk di rumah.

Kita lihat negara-negara yang hebat seperti Sepanyol, Itali, Perancis dan United Kingdom nyaris tersungkur dalam keadaan panik kerana tidak bersedia dengan keadaan ini.

Ribuan kematian tercatat di negara-negara ini berbanding dengan negara-negara di benua Afrika.

Di negara-negara Asia, kecuali China yang mencatat ribuan kematian, negara-negara lain sedang berhempas pulas menangani pandemik ini.

Doakan agar Asia, lebih-lebih lagi Asia Tenggara, tidak menjadi epicenter kepada penyakit ini seperti ramalan seorang pakar dari National University of Singapore, Profesor Teo Yik Ying.

Keadaan di Malaysia nampaknya makin terkawal hasil tindakan konkrit dan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia yang dibantu oleh PDRM, ATM serta puluhan kementerian dan agensi yang lain.

Artikel Berkaitan:

Kita juga lihat NGO-NGO pun turut bertungkus lumus memberikan sokongan dan semangat padu sama ada dengan menyalurkan bantuan makanan kepada yang perlu mahupun menolong menjahit PPE untuk barisan hadapan.

Tabik juga kepada rakyat Malaysia yang membantu hanya dengan duduk di rumah. Sudah masuk hari yang ke-36 kita melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita tidak tahu apakah ada fasa empat selepas ini.

Jika terpaksa melaluinya lagi, kita kenalah rela stay home dan stay safe kerana yang penting kita menang dalam peperangan dengan virus ini.

Cuma apabila sudah lebih sebulan kita duduk di rumah, apakah kita sudah mula menyesuaikan diri dengan the new norm ini?

Kita tidak lagi bangun pagi untuk pergi kerja, sebaliknya bangun pagi untuk menghadap TV atau komputer.

Kita tidak bermesyuarat di pejabat tetapi melalui aplikasi Zoom atau Google Meet.

Stres untuk beri tumpuan bermesyuarat secara online ini, lain macam daripada mesyuarat biasa di pejabat. Kita tidak makan di kantin atau restoran, sebaliknya makan di rumah.

Tempoh 36 hari yang dilalui sebenarnya bukan sekejap, tetapi kita yang sudah terbiasa dengan PKP ini mula berasakan fasa 1, fasa 2 dan fasa 3 berlalu seperti angin.

Maknanya, new norm sekarang ialah duduk lebih lama di rumah.

Kita lebih lama melihat wajah suami atau isteri dan anak-anak daripada wajah bos dan teman-teman sekerja.

Begitu pun, janganlah pula menyangka new norm berkubang di rumah ini sebagai new norm baharu bila mana kita boleh bermesej di telefon sepanjang hari atau menonton berpuluh siri di Netflix atau boleh juga mencuba memperbaiki kelemahan dalam kulinari.

New norm atau kebiasaan baharu pada waktu PKP ini sebenarnya sementara. Habis PKP, berlalulah kebiasaan ini. Kita akan keluar rumah dan pergi kerja.

Mungkin kita akan selalu lewat ke pejabat kerana jumlah penumpang di tren akan dikurangkan. Naik lif pun kena menunggu lebih lama kerana tidak boleh berhimpit-himpit.

Kita masih lagi melakukan penjarakan sosial di restoran mahupun di pasar raya. Bershopping sehari suntuk di mall atau menonton bukan sesuatu yang merehatkan.

Barangkali tempat yang boleh dikunjungi ialah di taman rekreasi. Itu pun kena berhati-hati. Kehidupan masih lagi tawar untuk waktu yang lama.

Justeru, waktu PKP ini bukannya waktu berehat, bercuti mahupun bersantai.

Sebaliknya kita kena bersedia dengan kehidupan yang sedikit warna-warninya sekurang-kurangnya untuk enam bulan mendatang.

Mudah-mudahan Ramadan nanti menjadi medan memperkukuh kesabaran. Mudah-mudahan bila dunia luar menjadi hambar, kita lebih selesa di rumah. Dengan itu binalah syurga di rumah mulai sekarang.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian