PKPD Pusat Bandar Utara tidak umum awal elak warga asing lari

Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan sanitasi ketika tinjauan di sekitar Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
Petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan sanitasi ketika tinjauan di sekitar Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, dibuat tanpa pengumuman awal bagi mengelakkan warga asing di kawasan itu melarikan diri.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, perkara itu dibuat dengan mengambil kira pelaksanaan PKPD di kawasan Masjid India apabila ramai warga asing dikatakan keluar dari kawasan itu apabila mengetahui mengenai pelaksanaan PKPD.

Beliau berkata, PKPD di kawasan itu juga tidak dilakukan secara terburu-buru seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia telah dikaji oleh Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Wilayah Persekutuan secara terperinci.

“Risikan daripada polis, tentera dan khususnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilakukan hampir dua minggu sebelum PKPD ini dilaksanakan kerana terdapat ramai warga asing tinggal di sana.

“Kami mempunyai cabaran kerana daripada pengalaman di Masjid India, kalau bagitahu mereka akan keluar dan lari, bila mereka ni lari maka mereka akan wujudkan lagi satu kluster baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan dan PKPD kawasan penempatan Pasar Borong Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur sebagai kawasan pelaksanaan PKPD yang keenam bermula 20 April sehingga 3 Mei.- Bernama

Artikel Berkaitan: