Nikah online: Jawi hanya pertimbang poligami diluluskan mahkamah

Mohd Ajib Ismail
Mohd Ajib Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan perkahwinan poligami melalui dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya dipertimbangkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) setelah mendapat kebenaran mahkamah syariah.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, permohonan pendaftaran nikah secara dalam talian melalui sidang video hanya dibenarkan kepada calon pasangan sudah mendapat kebenaran untuk bernikah sebelum ini, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Menurutnya, Jawi tidak akan melayan sebarang permohonan perkahwinan baharu atau poligami sepanjang tempoh PKP.

"Sejak PKP dilaksanakan, Jawi menerima pertanyaan bertalu-talu lebih 200 pasangan yang sudah mendapat kebenaran bernikah untuk mengetahui sama ada mereka boleh meneruskan majlis pernikahan susulan semua proses perkahwinan diarahkan tangguh.

"Berdasarkan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2011 yang menyatakan ada keharusan kebenaran akad nikah melalui sidang video pada saat ini, Jawi memutuskan kebenaran menikah online hanya dibolehkan kepada pemohon yang sudah mendapat kebenaran sebelum PKP.

"Bagi permohonan perkahwinan poligami, hanya pemohon yang mendapat kebenaran daripada mahkamah syariah sahaja dibenarkan," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 167 bertajuk Covid-19 PKP: Nikah Online Pulak Dah... yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam ini.

Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Pakar Kekeluargaan dan Pengarah Pusat Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj dengan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ajib berkata, di sebalik kebenaran diberikan kepada perkahwinan poligami, beliau menyarankan supaya pemohon lebih bersikap matang dengan mengambil kira kemaslahatan isteri-isterinya.

Menurutnya, kematangan ini penting kerana pelaksanaan perkahwinan secara poligami atas talian sewaktu tempoh PKP dibimbangi akan memudaratkan keperluan dan hak mana-mana isteri dimiliki.

"Dalam konteks ini, orang telah dapat kebenaran berpoligami dan boleh akad nikah ketika PKP perlu fikir mana lebih baik kepadanya kerana kebimbangan mereka tidak dapat berlaku adil sepanjang tempoh itu.

"Orang yang telah beristeri pastinya lebih matang berbanding anak teruna belum kahwin, justeru mereka lebih tahu perkara terbaik membabitkan kemaslahatan isteri-isteri masing-masing," katanya.