Kerajaan perhalusi kebenaran pulang penuntut IPT

Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung permasalahan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang kini berada di kampus dan keresahan ibu bapa mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM menyatakan rata-rata pelajar di IPT telah berada selama 28 hari di kampus mereka dan dianggap sebagai telah dikuarantin selama dua kali.

Menurutnya, sekiranya dalam tempoh tersebut pelajar-pelajar tersebut tidak mempunyai sebarang gejala dijangkiti koronavirus (Covid-19), wujud kemungkinan mereka dibenarkan pulang, tetapi satu standard operasi prosedur (SOP) ketat diperlukan bagi tujuan tersebut.

"Kita tidak mahu kira-kira 80,000 hingga 100,000 pelajar yang kini berada di IPT pulang serentak ke tempat masing-masing. Kita perlukan mereka mendapatkan saringan kesihatan sebelum pulang.

"Itu antara perkara yang kita lihat supaya perundingan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengajian Tinggi dan KKM supaya kita dapat membantu pelajar ini pulang.

"Perincian SOP akan kita lihat secara teliti terutama kalau ia dibenarkan bagaimana kita dapat uruskan supaya tidak timbul kesesakan," katanya pada sidang media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Pelajar universiti perlu kekal di kampus: Ismail Sabri

Sebelum ini kerajaan memutuskan bahawa penuntut di IPT diminta untuk terus kekal sehingga mendapat nasihat daripada KKM mengenai langkah seterusnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi mereka yang kini berada di kampung selepas pulang sebelum ini, kerajaan juga akan mendapatkan nasihat daripada KKM agar mereka dapat pulang semula ke bandar.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu mereka telah berada di kampung lebih sebulan dan pastinya wujud keresahan dalam kalangan mereka. Ini akan kita lihat bagaimana kaedahnya," katanya.