Bersatu bakal diuji di Semenyih

Pengaruh Bersatu Selangor bakal teruji pada PRK Semenyih.
Pengaruh Bersatu Selangor bakal teruji pada PRK Semenyih.
A
A
A

SEMENYIH - Kekosongan kerusi Dun Semenyih susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada Jumaat lalu ternyata mengejutkan banyak pihak.

Sebelum ini, tiada kedengaran pun mengenai penyakit jantung yang dihidapi beliau malah difahamkan allahyarham juga sempat melawat kerja-kerja baik pulih jalan di Pekan Semenyih sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sepanjang menjadi wakil rakyat, masyarakat setempat kebanyakannya menganggap Bakhtiar sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sering mengutamakan permasalahan penduduk di kawasan berkenaan.

Jika diimbas keputusan PRU14 lalu, Bakhtiar berjaya menewaskan tiga calon lawannya dari parti BN, Pas dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 8,964 undi serta turut mendapat undian keseluruhan sebanyak 23,428 undi.

Sebelum ini, tiga PRK telah berlangsung di Selangor melibatkan kawasan Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di mana menyaksikan kemenangan PH di semua kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, tidak sampai tempoh setahun pemerintahan kerajaan PH di negara ini, Selangor sekali lagi diuji dan bakal berdepan PRK di Dun Semenyih.

Malah, PRK yang bakal berlangsung ini juga dianggap bakal menyaksikan senario menarik di mana jentera Bersatu khususnya di Selangor bakal diuji buat pertama kali pasca PRU14.

PH dan komponennya berjaya meraih kemenangan besar khususnya di Selangor pada PRU14 lalu susulan beberapa isu yang dibangkitkan pada waktu itu antaranya melibatkan skandal mega 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Awang Azman (kiri), Ahmad Marthada.
Awang Azman (kiri), Ahmad Marthada.

Namun kali ini, adakah terdapat langkah sama akan direncanakan oleh PH dan Bersatu bagi ‘perang’ menentang lawan dalam usaha mengekalkan kemenangan mereka di kerusi tersebut?

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat, Bersatu bakal diuji pada kali ini namun parti itu perlu diberi peluang untuk menonjolkan kemampuan sebagai sebuah parti baharu di negara ini.

Beliau berkata, Bersatu perlu menjadi sebuah parti yang berani untuk menonjolkan kekuatan mereka tanpa dibayangi kekuatan parti-parti dominan dalam PH seperti DAP dan PKR.

“Ini juga selaras dengan hasrat Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahatir Mohamad pada Perhimpunan Agung Bersatu tahun lalu yang mana beliau mahukan parti itu menjadi sebuah parti yang relevan bagi memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini.

“Jadi, sewajarnya Bersatu perlu diberi peluang untuk bergerak dan memilih sendiri calon yang berkelayakan di sana,” katanya.

Beliau juga menyifatkan isu-isu membabitkan kelemahan kerajaan terdahulu sudah tidak lagi relevan untuk di bawa pada PRK kali ini berikutan rakyat sudah muak dengan perkara itu.

“Mungkin PH tidak akan bawa lagi isu-isu sedemikian namun lebih kepada kejayaan program-program di bawah pentadbiran mereka bagi meyakinkan rakyat terhadap kemampuan pentadbiran mereka,” katanya.

Calon Bersatu perlu diberi peluang bertanding pada PRK Semenyih.
Calon Bersatu perlu diberi peluang bertanding pada PRK Semenyih.

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, berdasarkan keputusan pada PRU14 lalu, kerusi Dun Semenyih dilihat mula menjadi kubu kuat PH dan Bersatu selepas kejayaan mereka meramas kemenangan daripada BN.

Beliau berkata, sekiranya Bersatu diberi peluang untuk bertanding di sana, peluang bagi parti itu untuk meraih kemenangan adalah cerah.

“Namun, mereka seharusnya memikirkan calon yang benar-benar layak untuk bertanding di sana. Saya rasakan Bersatu akan memperoleh undi sekitar 57-58 peratus daripada penduduk di kawasan terlibat,” katanya.

Mengulas lanjut, Awang Azman memaklumkan, isu-isu tempatan yang bersifat setempat dijangka akan menjadi keutamaan PH pada PRK kali ini berbanding isu di peringkat nasional.

“Di samping itu, PH juga perlu bersedia bagi menghadapi serangan lawan yang pastinya akan menggunakan isu-isu janji manifesto dalam PRU14 lalu sebagai senjata mereka,” katanya.

Berdasarkan pandangan daripada pemerhati politik tersebut, Bersatu dijangka akan dapat mengekalkan kemenangan di kerusi terlibat sekiranya calon daripada parti itu dipilih untuk membawa cabaran pada kali ini.

Namun begitu, sekiranya wujudnya kerjasama solid antara Pas-Umno pada kali ini, ia pastinya tidak boleh dipandang remeh buat PH berikutan kerusi tersebut mempunyai jumlah majoriti pengundi kaum Melayu.

PH pastinya mempunyai strategi tersendiri dalam memastikan mereka mampu mempertahankan kemenangan.