659 etnik Rohingya disaring di Kulai

Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan saringan ke atas etnik Rohingya yang tinggal di Lorong Kulai Besar, Kulai, Johor semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Johor melakukan saringan ke atas etnik Rohingya yang tinggal di Lorong Kulai Besar, Kulai, Johor semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 659 etnik Rohingya yang tinggal di Lorong Kulai Besar, Kulai dekat sini sudah menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) sehingga Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, daripada jumlah itu, seramai 13 orang disahkan positif, 396 orang menunjukkan keputusan negatif selain 250 orang lagi masih menunggu keputusan ujian.

Menurutnya, operasi sanitasi awam di kawasan Lorong Kulai Besar sudah dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada 2 April dan sekali lagi pada hari semalam.

"Kerajaan negeri memandang serius mengenai situasi itu dan telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di kawasan itu dapat dihalang.

"Ini termasuk melakukan kawalan keselamatan yang lebih ketat dilakukan di Lorong Kulai Besar. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meletakkan kawalan statik 24 jam di lorong tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan situasi terkini itu susulan terdapat laporan mengenai penularan wabak Covid-19 membabitkan etnik Rohingya di daerah Kulai iaitu di Lorong Kulai Besar yang tular di media sosial.

Dalam perkembangan sama, Vidyananthan berkata, sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan sebanyak penambahan dua kes positif baharu Covid-19 di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 644 kes.

Jelasnya, jumlah itu bagaimanapun tidak melibatkan jumlah kematian baharu menjadikan kekal sebanyak 16 kes selain 364 pesakit sudah discaj.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mendapati bahawa purata peratusan terhadap Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri Johor pada 20 April 2020 mencatatkan tiada perubahan iaitu kekal pada tahap 97 peratus," katanya.