X

Kindly register in order to view this article
!

Penghantar makanan didakwa lima pertuduhan

Tertuduh dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Majistret Ampang atas lima pertuduhan, hari ini.
A
A

AMPANG - Seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas lima pertuduhan.

Tertuduh, Aliff Ameruddin, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan lain iaitu mengeluarkan kata-kata kesat, menyerang dan mendatangkan kecederaan kepada anggota polis.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Bagi pertuduhan ingkar PKP, dia dihukum penjara sebulan bermula dari tarikh tangkap iaitu 17 April manakala dakwaan menghalang tugas penjawat awam, keputusan hanya akan dibuat pada 10 Jun depan.

Mengikut pertuduhan PKP, tertuduh didapati bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain yang diwartakan dengan tujuan bukan dalam mana-mana perkara yang diperuntukkan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menghalang penjawat awam dengan tidak memberi kerjasama apabila diminta untuk menyerahkan kad pengenalan.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau dengan denda sehingga RM 10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara tiga pertuduhan lain iaitu mengeluarkan kata-kata kesat, menyerang dan mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis, mahkamah menetapkan 17 Jun ini sebagai sebutan semula kes.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tidak sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara dua lagi pertuduhan iaitu Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, dia boleh didenda tidak lebih RM100 manakala Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM 2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Cahaya 2/3A, Pandan Cahaya jam 10 pagi pada 17 April lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa memohon agar tertuduh menerima hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan kerana tidak mampu untuk membayar denda.

Mengikut fakta kes, ketika rondaan Covid-19 di Ampang, anggota polis berkenaan melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan ketika menolak motosikal sebelum memintanya untuk menyerahkan kad pengenalan.

Tertuduh memarahi anggota itu dan meminta kad kuasa, namun selepas ditunjuk kad berkenaan, tertuduh mempertikaikannya dengan mendakwa ia boleh dibeli di mana-mana kedai buku.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Penghantar makanan ditangkap pukul polis

Baru-baru ini, tular video seorang lelaki bertengkar dengan anggota polis sebelum ia berakhir dengan tangkapan.

Video berdurasi empat minit itu, memaparkan lelaki berkenaan mengasari anggota polis serta enggan memberi kerjasama ketika disoal siasat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus