Sebuah keluarga 'diserang' gara-gara berkumpul

Paparan video penduduk marah sebuah keluarga berkumpul tular di laman sosial. - Foto: Detik News
Paparan video penduduk marah sebuah keluarga berkumpul tular di laman sosial. - Foto: Detik News
A
A
A

JAKARTA - Sebuah keluarga 'diserang' penduduk kerana berkumpul dalam satu rumah ketika menjalani program keagamaan.

Menerusi Detik News, seramai 10 ahli keluarga berkumpul di rumah di Cikarang Bekasi, Java hingga menimbulkan salah faham terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak koronavirus (Covid-19) di sini.

Salah seorang wakil keluarga, Clara, menerusi akaun Instagramnya @clarasihombing23 mengatakan perkara itu berlaku kerana wujud salah faham.

"Ketika kami berzikir dan membaca ayat al-Quran, mereka (penduduk) tiba-tiba datang dan marah-marah," katanya.

Katanya, selain ibu dan ayahnya, rumah itu dihuni ibu saudaranya dari Cikarang Tengah dan bukan menetap di sini.

"Mungkin mereka fikir makcik telah langgar PKP, sebab itu penduduk marah," katanya.

Tambah Clara, ibu saudara sering kali mengunjungi rumah untuk menjaga nenek yang semakin uzur.

"Nenek dan ibu saudara saya yang lain tinggal di rumah saya sebelum Covid-19 lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini tular di laman sosial, program keagamaan dilaksanakan di sebuah rumah mendapat tentangan penduduk.

Dalam video berdurasi 31 saat yang dimuat naik oleh akaun Instagram @arionsihombing menunjukkan dua lelaki datang ke rumah tersebut menegur penghuni rumah itu kerana berkumpul ketika PKP dilaksanakan.

Bagaimanapun perakam video itu memberitahu, mereka melakukan program keagamaan sahaja.

Sementara itu, polis menyatakan, ketua kampung menegur penghuni kerana mereka berkumpul dan bukan memarahi mereka anjurkan program keagamaan.

"Ia cuma salah faham. Bila diterangkan baru penghuni rumah faham. Lagipun kerajaan telah laksanakan PKP, penduduk tak boleh berkumpul kerana bimbang penularan wabak Covid-19," katanya.