Google Maps jejas pelancongan di pedalaman Australia

Kesilapan pemetaan Google Maps jejas pengusaha pelancongan di pedalaman Australia. - Gambar Hiasan
Kesilapan pemetaan Google Maps jejas pengusaha pelancongan di pedalaman Australia. - Gambar Hiasan
A
A
A

QUEENSLAND - AUSTRALIA. Pengusaha pelancongan di pedalaman Australia mendakwa, ketidaktepatan Google Maps meletakkan jarak destinasi pelancongan di kawasan terbabit mengakibatkan pelancong tidak berkunjung ke tempat-tempat menarik di sana.

Beberapa pengusaha yang mempromosi pekan kecil mengadu, terdapat kes di mana tempat yang hanya mengambil masa enam jam untuk sampai, kelihatan sehingga 11 jam menerusi Google Maps.

"Pelancong enggan melawat sesetengah kawasan kerana berfikir ia terlalu jauh, dan kemungkinan akan dibawa melalui laluan tanpa stesen minyak.

"Pelancong akan takut untuk berkunjung ke kawasan pedalaman kerana tidak yakin dengan pemetaan," kata Pengarah Muzium Sejarah Semulajadi Eromanga, Robyn Mackenzie.

Kesilapan pemetaan di kawasan pedalaman turut menyebabkan pelancong tersasar dari jalan utama lalu memasuki kawasan milik persendirian.

Aduan pengusaha pelancongan tersebut mendapat perhatian kerajaan Queensland yang kemudian menghubungi Google.

"Kami bergantung kepada Google Maps untuk panduan terutama di negeri yang luas seperti Queensland.

"Amat penting untuk memastikan segala informasi yang disediakan aplikasi terbabit adalah setepat yang mungkin," kata pemangku kerajaan Queensland, Cameron Dick.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Google berkata mereka memperolehi data untuk pemetaan daripada pelbagai sumber termasuk maklumat awam dan data pengguna.

"Kami sedang menyiasat aduan tersebut dan akan mengambil langkah yang sewajarnya, dan kami meminta maaf sekiranya terdapat perusahaan yang terjejas akibat kesilapan pada peta," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.- AFP