'Tidak mahu jiran berlapar'

Azzlen memuat naik status di Facebook menggunakan akaun nama 'Nel Kamal' bagi membantu penduduk terkesan sepanjang PKP di sekitar Kuala Selangor.
Azzlen memuat naik status di Facebook menggunakan akaun nama 'Nel Kamal' bagi membantu penduduk terkesan sepanjang PKP di sekitar Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pasangan suami isteri di sini mengambil inisiatif menyumbang barang keperluan dan wang tunai bagi membantu golongan terjejas sumber pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Azzlen Kamal, 41, berkata, dia dan suami, Romesyam Abu Samah, 45, tidak mahu melepaskan peluang berbakti kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, keutamaan bantuan itu dihulurkan kepada jiran terdekat bagi memastikan tiada yang kelaparan sepanjang perlaksanaan PKP.

"Pandangan saya antara perkara utama yang perlu kita lakukan dalam pemberian sumbangan ialah memberi keutamaan kepada ahli kariah kita terlebih dahulu.

"Bagi saya, jangan ada dalam kalangan ahli kariah kita tak makan, lebih-lebih lagi anak kecil dan sekurang-kurangnya kita tak ditanya, kenapa jiran berlapar sedangkan kita tidur kekenyangan di rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Azzlen berkata, sehingga kini dia sudah membantu seramai 78 penerima di sekitar kawasan Kuala Selangor.

"Antara barang keperluan disumbangkan ialah beras, minyak masak, telur, kicap dan wang tunai RM20.

"Selain itu, kita juga menyediakan keperluan tambahan seperti susu dan lampin pakai buang kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, inisiatif itu diambil dalam keadaan sekarang memandangkan ramai penduduk yang terkesan terutama ada yang mengalami masalah kewangan hingga sukar untuk membeli barang keperluan.

"Diharapkan dengan sumbangan ini dapat meringankan beban memandangkan tempoh PKP sudah dilanjutkan sehingga 28 April ini," katanya.

Menurut Azzlen, inisiatif itu turut dibantu beberapa sukarelawan yang berkorban masa dan tenaga untuk menghantar barangan keperluan di rumah yang memerlukan.

"Ada sebahagian penerima datang terus ke rumah saya untuk mendapatkan sumbangan manakala selebihnya bantuan ini dihantar sukarelawan ke rumah penerima yang jauh dan uzur," katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengambil inisiatif dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM40 sehari bagi membeli makanan pada lotong di Bukit Melawati.

"Sejak dua tiga hari lalu kita menyediakan 10 kilogram kacang panjang untuk makanan lotong di Bukit Melawati bagi mengelakkan haiwan ini berkeliaran ke rumah penduduk," katanya.