Penjara kita pun dibolosi dadah!

A
A
A
​​​JIKA ada yang berfikir penjara adalah tempat paling sesuai untuk pemulihan banduan, fikir sekali lagi! Dan, sekiranya yang dimasukkan ke penjara adalah penagih dadah, jangan sekali-kali fikir mereka akan tersisih langsung dari najis No.1 itu.

Terkurung di dalam sel dan tembok tidak bererti mereka bebas dari dadah. Malah mereka mungkin boleh terus berdengung sebagai penagih tegar.

Sebab telah terbukti tembok berjeriji yang dikawal ketat setiap saat pun boleh dibolosi benda haram itu. Ertinya banduan dalam sel kini bebas menerima dadah.

Malah, mereka mungkin lebih selesa dan selamat menagih di dalam tembok besi, sebab bekalan sentiasa terjamin, dan tiada siapa yang mereka takuti.

Hakikatnya ialah 9.88 kg syabu, 16.4 kg heroin, 940 biji pil ekstasi, telah dirampas dari sindiket yang bergiat menyeludup dadah untuk diagihkan kepada banduan di penjara Simpang Renggam, Johor.

Ini bukan berita palsu, sebaliknya didedahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, pembolosan dadah di penjara berkenaan disyaki telah berlaku sejak 2017. Bayangkan berapa banyak dadah telah diagihkan kepada banduan sepanjang tempoh tersebut.

Dan berapa banyak transaksi kewangan yang terlibat dalam kegiatan tersebut. Almaklumlah, di luar atau di dalam penjara, dadah memang selalu bisnes yang lumayan.

Seperti yang dilaporkan media, polis telah menahan lima anggota satu sindiket yang dipercayai membekalkan dadah kepada banduan, dan merampas dadah bernilai RM814,000.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya apa yang terjadi di Simpang Renggam itu bukan sesuatu yang luar biasa.

Sebelum ini beberapa kes serupa telah terjadi di beberapa penjara seluruh negara.

Malah, perihal dadah masuk penjara telah disosek-sosekkan sejak sekian lama. Pendek kata bukan rahsia lagi sekiranya ada yang mengadu banduan boleh menagih di dalam tahanan.

Maka semua pihak kena mengakui bahawa penyeludupan dadah – heroin, ganja, ketum, ekstasi, pil kuda, apa sahaja – ke dalam penjara bukan kes terpencil.

Sebelum ini kita mendengar penyeludupan dan pengedaran dadah kepada penagih yang ditempatkan di pusat-pusat serenti. Malang sungguh sekiranya kegiatan kotor ini terjadi di penjara!

Penjara kita mungkin mempunyai sistem kawalan paling ketat, tetapi itu bukan jaminan benda-benda negatif dari luar tidak dapat membolosi tembok besi.

Sediakanlah sistem seketat mana, sekebal mana, secanggih mana, selagi yang menggerakkan sistem itu adalah manusia kemungkinan untuk sistem itu diingkari sentiasa ada.

Lagi pun kita juga yang berfalsafah ‘rules are made to be broken’ – undang-undang dibuat untuk diingkari. Maka lagi ketat peraturan, lagi hebat percubaan untuk mengingkarinya.

Dalam kes di Simpang Renggam, Mohamad Fuzi sendiri tidak menolak kemungkinan ada permainan orang dalam yang bekerjasama dengan sindiket.

Biasalah di tempat kita orang dalam selalu dikaitkan dengan permainan kotor dalam skandal-skandal mega, termasuk yang melibatkan RM berbilion-bilion.

Polis dan Jabatan Penjara akan meneliti isu ini sehalus-halusnya. Lima orang suspek yang direman sepatutnya akan memberikan butiran yang diperlukan untuk membongkar perkara ini.

Polis kita bijak mengorek rahsia. Lima suspek itu diharapkan dapat mengesan dan mendedahkan siapakah yang terlibat dalam skandal pengedaran dadah di dalam penjara.

Siapa juga yang terlibat – sama ada orang dalam, orang luar, orang tengah, orang atas, orang bawah – mereka adalah pengedar dadah. Jangan ada tolak ansur lagi, mereka mesti dihukum.

Sekiranya kita betul-betul menganggap dadah sebagai musuh No.1 negara, apa yang terjadi di Simpang Renggam – mungkin juga di penjara lain di seluruh negara – jangan lagi dipandang ringan.

Kita meletakkan pesalah dadah ke dalam penjara untuk pemulihan. Tetapi kita pula yang terus membekalkan dadah untuk mereka menjadi lebih teruk. Apakah ini sesuatu yang lucu atau yang pilu!

Sekiranya tembok berjeriji pun sudah tidak selamat dan terus dicemari dadah, apa lagi tempat yang boleh diharapkan untuk mengajar dan membentuk masyarakat kita?

Soalan yang lebih serius: Sekiranya dadah boleh dibawa masuk, apakah tidak mungkin satu hari nanti ada bahan yang lebih berbahaya boleh membolosi pintu penjara kita?