X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 96 peratus kes baharu di Singapura dari kluster asrama

Singapura telah mewartakan 18 daripada lebih 25 asrama pekerja sebagai kawasan isolasi dengan asrama yang paling terkesan menempatkan penghuni dari Bangladesh, India, China dan Myanmar. - Foto AFP
A
A

SINGAPURA - Kira-kira 96 peratus daripada kes baharu jangkitan koronavirus (Covid-19) di Singapura semalam melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di lebih 25 asrama kluster di sini.

Peningkatan terbesar kes harian semalam yang menjangkau sehingga 1,426 kes positif menjadikan jumlah keseluruhan di negara ini kini berjumlah 8,041.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata, peningkatan ketara itu berpunca daripada penghuni asrama disebabkan ujian yang ditingkatkan di kawasan berkenaan.

"Sebilangan besar kes ini melibatkan penyakit ‘ringan’ dan dipantau di fasiliti isolasi komuniti atau wad umum hospital. Tidak ada antara mereka yang ditempatkan di unit rawatan rapi,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat malam tadi.

Setakat Isnin, tiada kes import dilaporkan hanya 25 kes dalam komuniti dan 32 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama.

Setakat ini Singapura telah mewartakan 18 daripada lebih 25 asrama berkenaan sebagai kawasan isolasi dengan asrama yang paling terkesan menempatkan penghuni dari Bangladesh, India, China dan Myanmar.

Kluster terbesar di Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol, Seletar North Link dengan kes yang disahkan berjumlah 1,977.

Dengan angka terbaharu, Singapura yang mengesahkan kes pertama jangkitan Covid-19 di negara pulau itu pada 23 Januari lepas, kini merekodkan jumlah tertinggi kes dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Sehingga kini Singapura mengklasifikasikan 6,075 kes sebagai melibatkan penghuni asrama, 339 melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama 1,031 kes komuniti dan 569 kes import.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam 801 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar daripada wad hospital atau fasiliti isolasi komuniti, 23 masih dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi dan 11 telah meninggal dunia. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus