Lari dari polis, penganggur kantoi ambil dadah

Suspek yang ditahan di Kampung Tok Gebok, Ajil, Hulu Terengganu petang semalam. - Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
Suspek yang ditahan di Kampung Tok Gebok, Ajil, Hulu Terengganu petang semalam. - Foto ihsan IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada anggota polis yang sedang membuat rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gagal apabila berjaya ditahan di kawasan lapang Kampung Tok Gebok, Ajil, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, sepasukan anggota dan pegawai melakukan rondaan di kawasan pentadbiran Balai Polis Ajil, di sini terserempak seorang lelaki sedang menunggang motosikal Yamaha 125Z dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pegawai dan anggotanya kemudian bertindak mengarahkan suspek berusia 22 tahun itu berhenti untuk pemeriksaan tetapi tidak diendahkan.

Bagaimanapun katanya, suspek yang masih bujang melarikan diri ke arah Kampung Tok Gebok di sini.

"Ketika itu, polis sudah memberi amaran dan arahan beberapa kali agar berhenti namun suspek tidak mengendahkannya sebelum berjaya ditahan di kawasan lapang kampung berkenaan.

"Semasa ditahan, suspek yang tidak bekerja memberitahu dalam perjalanan mencari stesen minyak kerana hendak mengisi minyak sedangkan ketika itu, stesen minyak sudah tutup," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan, suspek mengaku keluar rumah untuk mencari pil kuda dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan juga mendapati suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan kini dia ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.