Malaysia-UK bincang tiga perkara utama dalam hadapi Covid-19

Hishammuddin -Foto Bernama
Hishammuddin -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pemangku Perdana Menteri United Kingdom (UK) Dominic Raab membincangkan tiga perkara utama termasuk pendidikan dalam usaha menangani Covid-19.

Hishammuddin berkata perbincangan menerusi telefon bersama Raab yang juga merupakan setiausaha luar UK itu turut menyentuh kepentingan serantau termasuk ASEAN dan Komanwel.

"Baru selesai bercakap dari rumah melalui telefon dengan Setiausaha Luar merangkap Pemangku Perdana Menteri United Kingdom (UK), Dominic Raab.

"Bagi pihak Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, saya maklumkan mengenai penundaan (peperiksaan) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang juga diiktiraf Cambridge Assessment International Education (CAIE) United Kingdom ke suku pertama tahun depan,” kata Hishammuddin menerusi laman Facebooknya malam ini.

Beliau turut memaklumkan susulan penularan Covid-19 kemungkinan sekolah ditutup lebih lama dan perubahan tarikh STPM itu tidak akan menjejaskan peluang pelajar di Malaysia untuk mohon kemasukan ke institusi pengajian tinggi pada tahun 2021.

Selain itu, Hishammuddin berkata Raab turut memberi jaminan keselamatan 15,000 pelajar Malaysia yang berada di UK dan kebajikan mereka dijaga sepanjang krisis Covid-19 ini.

"Dalam pada itu, memandangkan UK merupakan salah satu negara yang telah memulakan ujian klinikal pada skala besar untuk rawatan Covid-19, kami senada bahawa penting untuk Malaysia dan UK bekerjasama rapat dalam usaha ini demi memastikan rakyat kedua-dua negara khususnya yang dijangkiti wabak ini mendapat rawatan terbaik,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin turut menekankan bahawa UK perlu bersama-sama ASEAN sebagai satu blok bagi memperkukuh peranan negara itu di rantau itu.

Beliau berkata kedua-dua mereka turut bersetuju kesemua negara Komanwel perlu proaktif perangi Covid-19 demi kepentingan 2.3 bilion rakyatnya. -Bernama

Artikel Berkaitan: