Tempahan tidak putus putus tetapi sukar dapat daging

Serunding daging tempatan yang menjadi pilihan pelanggan menerima begitu banyak pesan ketika ini.
Serunding daging tempatan yang menjadi pilihan pelanggan menerima begitu banyak pesan ketika ini.
A
A
A

TUMPAT - Dalam kegembiraan kerana perniagaan bertambah laris, seorang pengusaha serunding tetap risau dek kerana terbatas mendapatkan bahan mentah dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama memikirkan jualan sempena Ramadan ini.

Seorang pengusaha serunding, Mohamad Farhan Ramli, 34, berkata, serunding dihasilkannya terdiri daripada daging sama ada tempatan atau import, ayam dan ikan tidak putus putus menerima tempahan dan permintaan telah meningkat lebih tiga kali ganda sekarang ini.

“Pelanggan dari seluruh negara begitu banyak membuat pesanan melalui dalam talian berbanding kunjungan terus ke kedai, tetapi saya tidak dapat memenuhi separuh daripada permintaan itu kerana bekalan daging tempatan tidak mencukupi akibat kesukaran pergerakan ketika PKP ini.

“Sebab itu saya terpaksa menghadkan pesanan. Penghantaran secara terus pula hanya dilakukan di kawasan sekitar radius 10 kilometer manakala selainnya akan dihantar menggunakan perkhidmatan pos,” katanya ketika ditemui di kilang pemprosesan serunding di Taman Warisan Jaya, Kampung Laut di sini.

Serunding daging dari Kampung Laut, Tumpat Kelantan buatannya itu sememangnya terkenal dan kini sedang menerima lonjakan tempahan daripada pada orang ramai di seluruh negara walaupun dalam tempoh PKP ini.

Menurutnya, sepanjang mewarisi perniagaan daripada ibu bapanya itu, dia mendapati serunding yang dihasilkan menggunakan daging tempatan paling digemari oleh pelanggan kerana keenakan rasanya.

“Kalau sebelum ini saya boleh dapat sebanyak 120 kilogram (kg) daging mentah sehari daripada seorang peniaga di Pasar Siti Khadijah tetapi ketika ini dia tidak berniaga. Jadi, saya hanya boleh mendapatkan paling banyak bekalan daging kira-kira 60 kg selepas lelah pergi dari satu kedai ke kedai yang lain untuk membelinya sikit-sikit,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu tambah merunsingkannya memandangkan Ramadan yang bakal tiba pada 23 April ini kerana dia percaya permintaan terhadap jualan serunding akan meningkat lebih berkali ganda.

Artikel Berkaitan:

“Pelanggan saya terdiri daripada pelbagai kategori, ada yang beli untuk makan sendiri, ada sebagai pemborong yang membeli secara pukal untuk berniaga dan ada juga yang beli untuk dijual secara kecil-kecilan.

“Namun saya tetap akur dengan arahan PKP dan akan terus mematuhinya kerana kerajaan berusaha gigih untuk memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) serta berharap keadaan ini kembali pulih tidak lama lagi,” akhiri peniaga itu.