X

Kindly register in order to view this article
!

Tangkapan tanpa waran PKP

A
A

HARI ini terdapat suara-suara dalam kalangan peguam yang meragui bidang kuasa polis dalam menangkap pesalah laku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa waran. Persoalannya, adakah benar pihak polis mempunyai bidang kuasa untuk menangkap pesalah laku PKP tanpa mendapatkan waran terlebih dahulu?

Seperti yang kita sudah sedia maklum, PKP yang dilaksanakan sekarang adalah produk daripada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB). Kerajaan telah menggunakan Seksyen 11(2) APPPB dalam menggubal perintah dan peraturan-peraturan bagi pelaksanaan tiga fasa PKP bermula dari 18 Mac 2020 hingga 28 April 2020.

Peraturan-peraturan PKP telah menetapkan bahawa pesalah laku PKP akan didenda tidak melebihi jumlah RM1,000, atau penjara selama jangka waktu tidak lebih daripada enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Namun, Seksyen 2 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) telah secara jelas membahagikan antara kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran dan kesalahan yang tidak boleh ditangkap tanpa waran. Ertinya, pihak polis boleh menangkap seseorang tanpa waran jika polis mengesyaki seseorang itu melakukan kesalahan yang digariskan sebagai boleh ditangkap tanpa waran, dan sebaliknya. Jadual Pertama KPJ juga telah secara nyata menggariskan perkara ini.

Walaupun kesalahan dan hukuman yang termaktub dalam peraturan-peraturan PKP berada dalam lingkungan APPPB sahaja, dan Jadual Pertama KPJ lebih bertumpu kepada kesalahan-kesalahan yang dikodifikasikan di bawah Kanun Keseksaan, namun bahagian terakhir dalam Jadual Pertama KPJ telah menyatakan mengenai kesalahan selain daripada Kanun Keseksaan, di mana ia menyatakan bahawa pihak polis tidak boleh menangkap tanpa waran untuk sebarang kesalahan yang boleh dihukum penjara selama kurang daripada tiga tahun.

Jadi, secara umumnya, perlanggaran terhadap peraturan-peraturan PKP bukanlah satu kesalahan yang boleh memberikan kuasa kepada pihak polis untuk membuat sebarang tangkapan tanpa waran.

Namun, ada sedikit kelompangan undang-undang dalam hal ini. Seksyen 269, 270 dan 271 Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan jenis kesalahan yang lebih kurang sama dengan apa yang termaktub dalam peraturan-peraturan PKP, dan ini telah memungkinkan pihak polis untuk menangkap tanpa waran atas kesalahan di bawah Seksyen 269 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan. Jadual Pertama KPJ membenarkan tangkapan dibuat tanpa waran di bawah Seksyen 269 dan Seksyen 270 Kanun Keseksaan.

Malah, dalam beberapa kes di mana orang awam menghalang pihak polis dalam menjalankan tugas mereka ketika PKP ini dilaksanakan boleh ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 186 adalah kesalahan yang memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap tanpa waran.

Pihak polis boleh menangkap dan menyiasat orang awam dengan kesalahan di bawah Seksyen 269, 270 atau 186 tanpa memerlukan waran, tetapi pertuduhan yang bakal dikenakan di mahkamah kelak mungkin di bawah peraturan-peraturan PKP (sedangkan pada asalnya siasatan di bawah peraturan PKP memerlukan waran). Ini tidak salah, secara umumnya.

Ini kerana beban pembuktian di bawah Seksyen 269, 270 dan 271 Kanun Keseksaan kebiasaannya lebih tinggi berbanding beban pembuktian di bawah peraturan-peraturan PKP. Oleh itu, perubahan pertuduhan daripada kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kepada peraturan-peraturan PKP boleh berlaku.

Dalam erti kata lain, pihak polis boleh menggunakan kelompangan undang-undang ini dengan menangkap dan menyiasat pesalah laku PKP di bawah kesalahan-kesalahan Kanun Keseksaan, namun akhirnya pendakwaan akan dibuat di bawah peraturan-peraturan PKP.

Jadi, ini sudah tentu tidak memerlukan waran sebelum tangkapan dibuat. Walaupun begitu, orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi peraturan-peraturan PKP demi kebaikan kita bersama.

*Haeme Hashim ialah pengamal undang-undang di Kuala Lumpur dan pemerhati senario politik negara. Artikel ini ditulis bersama CK Lew yang juga pengamal undang-undang di Kuala Lumpur


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus