Kemas Manjung guna kepakaran jahit PPE

Zambry (kanan) melihat sukarelawan Kemas menyiapkan PPE untuk digunakan petugas kesihatan di Hospital Seri Manjung dan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, di sini hari ini.
Zambry (kanan) melihat sukarelawan Kemas menyiapkan PPE untuk digunakan petugas kesihatan di Hospital Seri Manjung dan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, di sini hari ini.
A
A
A

LUMUT - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Manjung menggerakkan sukarelawannya bagi membantu menyediakan sebahagian bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) yang diperlukan petugas kesihatan di daerah itu.

Pegawai Kemas Daerah Manjung, Azril Yazan Samsudin berkata, usaha yang dilakukan itu telah bermula sejak 10 April lalu melibatkan 20 sukarelawan yang terdiri daripada Penyelia Kemas, Pemaju Masyarakat Jahitan dan Pemaju Masyarakat Pelbagai Jurusan Kemas Daerah Manjung.

Katanya, sebanyak dua Bengkel Jahitan Kemas digunakan iaitu di kawasan Parlimen Lumut dan Parlimen Beruas untuk menyiapkan PPE yang diperlukan untuk kegunaan Hospital Seri Manjung dan Pusat Kesihatan Daerah Manjung.

"Sehingga kini, kita telah siapkan lebih 350 set PPE untuk kegunaan petugas kesihatan. Kita membantu dari segi menjahit PPE manakala bekalan kain disediakan pihak hospital.

"Kekangan kita dari segi memotong kain kerana tidak ada mesin dan dilakukan secara manual. Sehari kita boleh dapat 50 pasang PPE yang siap dijahit. Selepas ini apabila ada mesin memotong kain, kita jangka sebanyak 600 pasang PPE boleh disiapkan," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan PPE Petugas Barisan Hadapan oleh Sukarelawan Kemas Daerah Manjung di Pejabat Kemas Parlimen Lumut, di sini, hari ini.

Hadir sama menyempurnakan penyerahan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Azril Yazan berkata, kerja-kerja menjahit PPE itu dilakukan pada waktu pejabat setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang melibatkan 10 orang sukarelawan di Parlimen Lumut dan 10 lagi dari Parlimen Beruas.

Sementara itu, menyedari keperluan mesin pemotong kain bagi meningkatkan jumlah pengeluaran PPE, Zambry menyerahkan sumbangan dua unit mesin berkenaan kepada Pejabat Kemas Daerah Manjung.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sumbangan tersebut bertujuan memastikan keperluan 7,000 PPE sebulan oleh petugas kesihatan di daerah ini dapat dipenuhi.

"Saya kagum dengan semangat sukarelawan yang ditunjukkan oleh warga Manjung ini dan setiap orang mainkan peranan masing-masing untuk membantu petugas barisan hadapan kita dalam menentang Covid-19 ini.

"Setelah berbincang dengan mereka mengenai masalah dan keperluan, jadi saya sumbangkan dua mesin pemotong kain bagi memastikan sukarelawan cepat dapat hasilkan PPE kerana di Hospital Manjung sahaja memerlukan 7,000 set PPE sebulan," katanya.

Beliau turut menyarankan lebih ramai sukarelawan turut sama membantu petugas kesihatan dalam memastikan keperluan mereka mencukupi.

Dalam pada itu, Zambry turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19).