Sampah berkurang, kualiti Sungai Klang meningkat

Sungai Klang merekodkan bacaan indeks kualiti air (WQI) kelas III hampir 90 peratus daripada masa pengawasan sepanjang tempoh PKP.
Sungai Klang merekodkan bacaan indeks kualiti air (WQI) kelas III hampir 90 peratus daripada masa pengawasan sepanjang tempoh PKP.
A
A
A

KLANG – Jumlah sampah yang dikeluarkan dari Sungai Klang berkurangan sebanyak 43 peratus selepas sebulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin berkata, sebanyak 580 tan metrik sampah dikumpul antara 15 Mac hingga 15 April lepas di bawah projek ‘Selangor Maritime Gateway’ (SMG) berbanding purata 900 hingga 1,200 tan metrik sebulan dalam tempoh enam bulan lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP, Sungai Klang merekodkan bacaan indeks kualiti air (WQI) kelas III hampir 90 peratus daripada masa pengawasan.

"Ini petunjuk jelas bahawa dengan pengurangan pergerakan rakyat dan operasi perniagaan, ia mampu memulihkan sungai seperti dibuktikan oleh peningkatan kekerapan bacaan indeks kualiti air di paras kelas III,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ketika kerajaan Selangor memulakan aktiviti pembersihan di sungai berkenaan pada 2017, WQI adalah pada kelas V (tercemar) dan tahapnya meningkat ke kelas III tahun lalu.

Beliau berkata, apa yang penting kini adalah usaha meningkatkan lagi kualiti air kerana data antarabangsa menunjukkan air bersih adalah faktor utama dalam pertumbuhan ekonomi.

Katanya, LLSB diberi mandat oleh kerajaan Selangor untuk memberikan nafas baharu kepada Sungai Klang melalui pembersihan, pemuliharaan dan pembaharuan di bawah projek SMG meliputi perairan sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley ke muara sungai di Pelabuhan Klang.

Terdahulu beliau berkata, Bank Dunia tahun lalu mengeluarkan laporan menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pencemaran sungai saling berkait-rapat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, laporan tersebut berdasarkan himpunan maklumat oleh pangkalan data terbesar dunia mengenai kualiti air dan dikumpulkan dari stesen pemantauan, teknologi pengesan jarak jauh dan pembelajaran mesin.

Menurut laporan itu, kemerosotan kualiti air boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi dalam pelbagai cara termasuk dalam sektor kesihatan, pertanian, pelancongan, hartanah, akuakultur/perikanan dan lain-lain sektor yang bergantung kepada kualiti alam sekitar dan perkhidmatan ekosistem.

“Dalam sektor kesihatan, produktiviti tenaga kerja boleh terjejas dan dalam bidang pertanian, kualiti dan kuantiti makanan yang dihasilkan mungkin berkurangan,” katanya.

Dalam pada itu, Syaiful Azmen berkata, pandemik Covid-19 mungkin secara tidak langsung meningkatkan kualiti perairan, namun memberi impak negatif ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, kaedah pengurusan ekosistem sungai selepas krisis itu boleh membantu menentukan tempoh pemulihan ekonomi negara.

“Saya bimbang kemungkinan peningkatan pencemaran sungai sebaik sahaja PKP ditamatkan. Semua orang terutama peniaga tidak bertanggungjawab memilih melupuskan sisa ke dalam sungai sebagai langkah cepat dan menjimatkan wang berbanding kaedah sistematik.

"Perubahan tingkah laku yang mendadak diperlukan agar kita dapat mencapai pembaikan yang lebih bermakna dan berkekalan dalam sungai kita,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa kini meningkatkan penguatkuasaan dan penalti terhadap pencemaran alam sekitar, namun perniagaan secara langsung dan tidak langsung harus bekerjasama dengan pihak pengurus sungai untuk menghidupkan semula ekosistem sungai.

"Kata-kata manis mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar sahaja tidak cukup, mereka mesti melibatkan diri dan menjadi sebahagian daripada usaha menyelesaikan masalah pencemaran sungai,” katanya.