Wanita cemas bersalin dalam kereta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang wanita melalui pengalaman cemas apabila terpaksa melahirkan bayinya di dalam kereta kerana tidak sempat sampai ke hospital akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Hospital Tawau pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, Noziee Abdul Asa, 37, yang dalam perjalanan ke hospital bersama bapanya, Abdul Asa Mohd Salleh, 65, dan anak sulungnya, Aisha Maizela, 17, terperangkap lebih dua jam susulan terdapat dua sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Abdul Asa yang merupakan seorang pesara kerajaan berkata, beliau menerima panggilan anaknya yang mengadu sakit hendak bersalin pada jam 9.30 pagi sebelum mengambil Noziee dan Aisha di rumah Projek Perumahan Rakyat Miskin (PPRT) Baru 8 dan terus ke Hospital Tawau.

"Dalam perjalanan saya terfikir juga mengenai kesesakan lalu-lintas di Jalan Apas sebelum mencari jalan alternatif menggunakan laluan di Jalan Tiku sebelum sekali lagi terperangkap di sekatan Jalan Kuhara.

"Mujur sebuah ambulans (ada pesakit) melalui kawasan yang sama dan Aisha memaklumkan keadaan ibunya kepada kakitangan perubatan yang kemudian mengarahkan saya memandu dan ikut di belakang ambulans," katanya.

Abdul Asa, Noziee selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.4 kilogram dalam kereta berhampiran pintu pagar Hospital Tawau.

Sementara itu, Noziee menerusi Facebook beliau memaklumkan anak keempatnya itu dimasukkan ke wad kerana mengalami sedikit masalah pernafasan, namun mereka berdua dalam keadaan stabil. - Bernama

Artikel Berkaitan: