Terkilan tak dapat bantu suami

Nor Alam (kiri) meluangkan masa melawat Hatikah yang terlantar kerana kaki kirinya patah akibat kemalangan.
Nor Alam (kiri) meluangkan masa melawat Hatikah yang terlantar kerana kaki kirinya patah akibat kemalangan.
A
A
A

PASIR MAS - Niat murni seorang isteri untuk membantu meringankan beban suami yang bekerja sebagai mekanik tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan pada 19 Disember lalu.

Ekoran kemalangan itu, Hatikah Daud, 35, terpaksa ‘berehat’ seketika selepas kaki kirinya patah sekali gus menjejaskan kantung kewangan mereka sekeluarga.

Hatikah yang berkhidmat sebagai tukang cuci kontrak di Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Pasir Mas berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Ketika itu saya baru dua minggu bekerja. Masuk hari ini hampir sebulan saya terlantar di rumah dan tidak dapat bekerja.

“Agak sukar juga buat saya dan lima anak (berusia 16 hingga 4 tahun) kerana terpaksa bergantung dengan gaji suami sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Banggol Gajah Mati di sini.

Terdahulu, Hatikah yang juga ahli Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Banggol Perdana menerima kunjungan Pengerusi KRT, Nor Alam Majid.

Hatikah berkata, pendapatan suaminya yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel tidak menentu.

Menurutnya, buat sementara waktu dia menumpang di rumah ibunya disebabkan tidak mampu menguruskan diri.

Artikel Berkaitan:

“Mujurlah, ibu saya masih kuat dan gagah. Jadi dialah yang bantu uruskan saya ketika suami keluar mencari rezeki,” katanya.

Hatikah berkata, doktor menasihatinya supaya berehat selama tiga bulan tanpa melakukan sebarang pekerjaan.

Katanya, situasi itu membuatkan dia menjadi buntu setiap kali memikirkan masa depan anak-anaknya yang masih kecil.

“Bukan itu sahaja, saya terpaksa berjimat kerana perlu menjalani pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat.

“Pemeriksaan itu nanti akan jadi penentu kepada masa depan saya sama ada dapat berjalan seperti biasa atau sebaliknya,” katanya.

.Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan kepada Hatikah menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) miliknya bernombor 03-027-02-069712-7.