X

Kindly register in order to view this article
!

Belum ada keperluan laksana PKPD di Felda Sahabat: Polis

Terdapat 11 kes positif Covid-19 di Felda Sahabat, Tungku, Lahad Datu.
A
A

LAHAD DATU - Tiada keperluan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Sahabat, Tungku dekat sini, setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, banyak aspek perlu diambil kira sebelum kawasan Felda itu diumumkan PKPD dan ketika ini keadaan masih terkawal dan keperluan adalah mempertingkatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan.

"Buat masa ini, kami laksanakan sekatan pergerakan keluar dan masuk ke Felda itu sejak semalam, sehingga petugas kesihatan menjalankan saringan koronavirus (Covid-19) kepada semua penduduk terlibat," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di sini, hari ini.

Katanya, proses saringan kesihatan itu dijangka selesai dijalankan sehingga Rabu ini.

"Susulan itu, sehingga keputusan saringan kesihatan diperoleh, pasukan keselamatan dan agensi terlibat akan melipatgandakan kawalan di Felda bagi membendung penularan pandemik Covid-19 ini," katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan terdapat 11 kes positif Covid-19 di Felda Sahabat, Tungku, Lahad Datu.

Lahad Datu juga merupakan antara tiga daerah di Sabah berada dalam zon merah untuk kes positif Covid-19 selain Tawau dan Kota Kinabalu.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus