Kolam ternakan keli sebabkan pencemaran sungai diroboh

Operasi perobohan kolam ternakan ikan keli dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak pagi tadi.
Operasi perobohan kolam ternakan ikan keli dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak pagi tadi.
A
A
A

HULU SELANGOR - Sebuah kawasan kolam ternakan ikan keli di Hulu Selangor disita manakala strukturnya dirobohkan selepas menjadi punca pencemaran bau di empat loji rawatan air (LRA) di negeri ini Khamis lalu.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataannya memaklumkan, operasi perobohan dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak pagi tadi.

"Kerja-kerja penyitaan dan perobohan turut disertai Bahagian Penguatkuasaan SPAN dan tindakan diambil berdasarkan undang-undang," katanya menerusi kenyataan di Facebook SPAN hari ini.

Menurut kenyataan itu, selain Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, agensi lain yang terlibat akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan akta masing-masing bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab menerima hukuman setimpal.

"Tindakan perobohan dan penyitaan ini ialah isyarat jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas pihak yang mencemarkan sumber air di negara ini," katanya.

Kenyataan itu menegaskan, SPAN sentiasa bersedia walaupun di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan tiada sebarang aktiviti yang boleh mengganggu sistem bekalan air.

"SPAN tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655)," katanya.

Sinar Harian Jumaat lalu melaporkan, sebuah kolam ternakan ikan keli seluas 27.52 hektar di Hulu Selangor didakwa menjadi punca pencemaran bau yang berlaku di empat loji rawatan air (LRA) di negeri ini hingga terpaksa dihentikan operasi.

Artikel Berkaitan:

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, tindakan pengusaha kolam ternakan melepaskan sisa ayam yang telah diproses ke dalam saluran sungai menyebabkan berlaku pencemaran bau.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, pengusaha kilang itu beroperasi secara haram yang tidak memiliki Kebenaran Menduduki (KM) Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di tanah milik kerajaan.